Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Sudah dua hari sambutan hari pekerja telah berlalu. Secara peribadi, hari pekerja atau hari buruh merupakan sesuatu yang agak sentimental kepada saya.

Maklumlah, bapa saya merupakan seorang buruh, ibu saya juga bekas buruh sebelum menjadi suri rumah sepenuh masa.

Datuk saya juga merupakan seorang buruh daripada usia muda sehingga bersara.

Selepas tamat tingkatan lima dahulu, saya juga pernah merasai pengalaman bekerja sebagai penjaga stor, pekerja am di stesen minyak, malah menjadi buruh kontrak di sebuah kilang di Pelabuhan Klang.

Pengalaman bekerja sebagai buruh kontrak telah memberi kesedaran dan pengalaman besar kepada saya untuk lebih menghargai kaum pekerja.

Dalam erti kata yang mudah, secara praktiknya saya begitu faham jerih perih seorang buruh. Ia bukan suatu perkara yang mudah.

Buruh dan protes

Ketika menuntut subjek ‘industrial relation’ dahulu, saya masih ingat pensyarah Dr Jashpal Kaur sering mengaitkan buruh dengan aksi protes.

Sehingga sekarang, buruh masih dibenarkan untuk menjalankan piket ataupun protes, tetapi undang-undang sedia ada menuntut supaya ia dijalankan menurut tatacara undang-undang bertulis sedia ada.

Dalam suatu nas undang-undang di dalam kes Non Metallic Mineral Products Manufacturing Employees Union & Ors v South East Asia Firebricks Sdn Bhd [1976] 2 MLJ 67, allahyarham Raja Azlan FJ menyebut:

“…in my opinion, is a saving clause for workmen. Workers' organisations cannot exist, if workers are not free to join them, to work for them and toremain in them. This is a fundamental right which is enshrined in our Constitution and which expresses the aspirations of workmen.

“It is declaratory of present day industrial relations that management should encourage workmen to join a union and to play an active part in its work, but this is restricted to the activities of a registered trade union, such as the freedom to strike.

“'The right of workmen to strike is an essential element in the principle of collective bargaining' per Lord Wright inCrofter Hand Woven Harris Tweed Company Limited & Ors v Veitch & Anor [1942] AC 435 463.

“That is a truism. There can be no equilibrium in industrial relations today without the freedom to strike. If workers could not, in the last resort, collectively withhold their labour, they could not bargain collectively.”

Nas di atas jelas menunjukkan bahawa protes dan mogok adalah dibenarkan menurut undang-undang!

Melihat kepada sejarah, protes dan demonstrasi terbesar oleh kaum buruh di Malaya dan Singapura telah berlaku pada 1 Mei 1947.

Akhbar The Straits Times bertarikh 2 Mei 1967 melaporkan:

While police riots squads stood by with tear gas and radio patrol cars, a two-mile procession marched through the streets without incident, carrying banners and posters. At the two-hour rally held at Farrer Park, a resolution was passed urging the Government to recognise May Day in future as an official holiday with full pay for workers.”

Selain itu, Pusat Sejarah Rakyat juga memetik bahawa Majalah Kenchana keluaran bulan Jun 1947 telah melaporkan:

“Beribu-ribu kaum buruh Singapura telah ikut merayakan hari buruh 1 Mei, seperti juga berjuta-juta saudaranya kaum buruh seluruh dunia telah merayakan dengan penuh keramaian dan kebesaran.

“Berbagai macam bendera kebangsaan telah dijulangkan ke udara diiringi berpuluh-puluh kata slogan yang mengemukakan semangat tekad bulat persatuan kaum buruh dalam pertahanan dan perjuangannya untuk menetapkan keadaan yang baik dari tindasan kezaliman kaum majikan.”

Ini bermaksud perjuangan menuntut hak pekerja telah bermula sejak dahulu lagi di negara ini. Pada ketika itu, tuntutan supaya May Day diiktiraf sebagai cuti umum dengan bayaran kepada pekerja telah diketengahkan oleh golongan pekerja.

Selain itu, menurut Pusat Sejarah Rakyat juga, walaupun sambutan May Day telah dimulakan di Malaya sejak 1921, tuntutan demi tuntutan telah dibuat sejak tahun 1947 lagi.

Namun begitu, tuntutan kaum buruh telah ditolak oleh pemerintah sehingga pada tahun 1972 apabila timbalan perdana menteri, allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman telah mengumumkan bahawa 1 Mei akan menjadi hari cuti umum.

Ketika itu Ismail sedang berucap di Seminar Kesatuan Biro Buruh dan Kesatuan Sekerja Umno yang diadakan di Dewan Belia Kampung Pandan pada tarikh 20 Mei 1972.

Perjuangan kaum buruh yang memakan masa akhirnya telah diiktiraf dan sebagai rakyat Malaysia, saya secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih kepada kaum buruh!

Buruh zaman moden

Walaupun zaman telah berubah, jelas bahawa perjuangan kaum buruh tidak pernah terhenti.

Malah, sejak dahulu hingga sekarang, perjuangan buruh bukan sekadar soal kebajikan pekerja, malah meliputi soal kebebasan berpersatuan, kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, gaji minima dan kebebasan media sudah lama menjadi tonggak dan asas kepada perjuangan buruh sejak zaman penjajahan lagi.

Dalam sesebuah negara, ketiadaan kaum buruh pasti akan membawa bencana apabila sektor-sektor penting tidak dapat diisi dan digerakkan secara maksimum.

Pihak pemerintah tidak harus alergik dengan tuntutan-tuntutan kaum buruh.

Dalam himpunan May Day dua hari lepas, kaum buruh telah hadir dengan 17 tuntutan dan antaranya adalah berkenaan dengan penubuhan tabung pemberhentian pekerja, perlaksanaan gaji minimum RM1500, dan juga berkenaan dengan pengiktirafan kaum asal dan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Hal-hal ini haruslah diteliti dan dipertimbangkan oleh pihak pemerintah secara adil dan saksama tanpa sebarang prejudis.

Dalam rencana ringkas seperti ini, mustahil untuk membincangkan satu persatu sumbangan dan jatuh bangun kaum pekerja.

Namun, penghargaan haruslah kita berikan kepada kaum buruh dalam apa jua keadaan.

Seperti yang pernah disebut oleh Samuel Smiles, seorang penulis Scotland dan juga pelopor kepada gerakan pekerja chartisme, beliau menyebut:

‘Labour may be a burden and a chastisement, but it is also an honour and a glory. Without it, nothing can be accomplished’.

Terima kasih kaum buruh! Perlawanan akan pasti terus!


KHAIRUL NAIM RAFIDI pengasas Sekolah Undang-undang rakyat (Suur) dan mahasiswa tahun akhir undang-undang UiTM Shah Alam.

Lihat Komen
ADS