Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beberapa hari lepas perdana menteri dilapor media arus perdana meminta rakyat mengelakkan campurtangan asing dalam hal politik negara. Sedap bunyinya, Alhamdullillah.

Namun rakyat masih belum jelas campurtangan asing itu agaknya bagaimanakah definasinya?

Apakah menerima derma daripada Arab Saudi untuk tujuan akaun politik Umno seperti dilaporkan media bukan satu bentuk campurtangan asing?

Apakah penderma sudah menjadi warga negara Malaysia dengan mempunyai Mykad dan tinggal di Utan Aji, Perlis?

Jika benar ia untuk Umno, mengapa pula akaun umno tiada dikreditkan dengan amaun berkenaan semasa dibentangkan di Perhimpunan Agung Umno tahun lepas?

Apakah pemimpin Umno lain tidak terfikir amaun berkenaan sepatutnya berada dalam akaun Umno dan ketiadaan amaun berkenaan boleh dianggap sebagai satu bentuk pecah amanah yang boleh dilaporkan kepada pelbagai institusi penguatkuasaan undang-undang termasuk antaranya polis dan pendaftar pertubuhan?

Peguam Umno pula tampil membuat kenyataan yang pihak luar tidak boleh menyiasat rakyat Malaysia. Agaknya di manakah peguam umno belajar undang-undang? Pernahkah peguam Umno kenal satu agensi antarabangsa yang dipanggil Interpol? Mungkin beliau patut google mengenai Interpol.

Siasatan negara luar

Kewujudan pelbagai akta parlimen yang diluluskan di negara kita yang menerima pakai bulat-bulat pelbagai konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membolehkan negara luar datang menahan dan membawa pulang sesiapa sahaja untuk didakwa di negara mereka.

Tiadakah dalam pengetahuan peguam Umno mengenai Akta Anti Penggubahan Wang Haram, Anti Pembiayaan Keganasan dan Pendapatan daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA 2001) yang dijadikan undang undang di negara kita daripada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Atau tiadakah dalam pengetahuan peguam Umno mengenai Akta Kerjasama dalam Perkara-Perkara Jenayah 2002 yang membolehkan negara luar menyiasat, menahan dan mendakwa rakyat Malaysia di negara mereka yang mana akta berkenaan berasal daripada Konvensyen PBB dan diluluskan di Dewan Rakyat sebagai undang undang yang berkuatkuasa di negara kita?

Malah dengan negara yang kita tidak mempunyai treaties (perjanjian) pun kita mesti memberi kerjasama dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang jenayah negara lain.

Perkara ini menjadi jelas dan ketat di seluruh dunia selepas kejadian pesawat yang melanggar menara berkembar di Amerika. Jangan lupa beberapa contoh mudah termasuk membuka tali pinggang bagi lelaki ketika hendak melalui pemeriksaan masuk ke dewan berlepas lapangan terbang dan larangan membawa cecair menerusi bagasi tangan juga diguna pakai bagi penerbangan domestik negara kita.

Siasatan 'syarikat hutang negara' telah dijalankan di beberapa negara seluruh dunia.

Bukti-bukti pergerakan wang menerusi pindahan komputer secara atas talian berbilion USD dapat dikesan dengan mudah.

Bagaimanapun ia begitu mudah dinafikan tanpa asas oleh mereka yang disyaki terlibat mahupun mereka yang bersubahat dengan pelbagai alasan bodoh untuk sebarang ganjaran barangkali.

Wang berbilion dipindahkan di zaman moden menerusi pindahan komputer secara atas talian dan mudah dikesan oleh pihak berkuasa kewangan seluruh dunia namun rakyat Malaysia dipaksa percaya yang wang berkenaan mungkin dimasukkan ke dalam guni dan dihantar melalui beberapa penerbangan.

Ini versi penjelasan untuk orang kampong yang 'sudah tamat tempoh' untuk percaya.

Episod Marcos akan berulang?

Pada tahun 1986 Imelda Marcos bersama suaminya mendiang presiden Ferdinand Marcos menyimpan USD4 bilion di Switzerland dibincangkan di persidangan anti rasuah antarabangsa tahun lepas di PICC Putrajaya.

Kerajaan Switzerland membekukan dan memulangkan secara berperingkat kepada kerajaan Filipina hingga mengambil masa lebih 20 tahun lamanya.

Pelbagai syarat dikenakan oleh pihak berkuasa Switzerland dalam proses pemulangan wang berkenaan kepada Filipina bagi memastikan ia tidak disalah gunakan oleh kerajaan yang memerintah selepas zaman Marcos.

Kerajaan Switzerland mensyaratkan USD1.8 billion mesti dipulangkan kepada peladang kelapa kerana sebelum melarikan diri pasangan Marcos mengenakan cukai kelapa kepada peladang kelapa.

Secara kebetulan pihak berkuasa Switzerland juga telah membekukan USD4 billion milik Malaysia dalam siasatan mereka terhadap syarikat hutang negara malah secara kebetulan, rakyat baru dikenakan GST.

Apakah episod Marcos akan berulang di negara kita? Rakyat bukanlah bodoh sekalipun sebilangan kecil penguatkuasa undang-undang cuba sedaya upaya bersubahat melindungi penjenayah.

Berlakon sakit

Barangkali mereka bercita-cita untuk sama-sama bermesyuarat dalam penjara di luar negara ataupun mereka menganggap satu akta yang melindungi penjawat awam daripada tindakan dapat melindungi mereka.

Hello, akta berkenaan tidak terpakai atau tidak boleh disalah gunakan untuk melindungi sebarang bentuk jenayah.

Ketika para penyiasat daripada Switzerland datang ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan si bahalul yang mengumumkan tiada kes dan arahkan kes ditutup, tiba-tiba bahalul berkenaan dimasukkan ke hospital. Lakonan sebegini boleh dilakukan entah untuk berapa lama lagi.

Jika beberapa hari lepas akhbar tempatan membuat pendedahan mengenai sijil sakit yang boleh dibeli, mungkin juga Kementerian Kesihatan patut mendakwa hospital yang menerima pesakit untuk berlakon berpura pura sakit.

Teringat kita filem Nasib Labu-Labi bila sahaja mendengar orang datang nak kutip derma terus Pak Haji Bakhil berpura pura demam.

Kini kita di hidangkan dengan berita peletakkan jawatan lembaga pengarah syarikat yang menanggung hutang negara. Letaklah jawatan tapi kesalahan jenayah tetap kekal tiada had masa di sisi undang undang (no limitation period to prosecute) untuk pendakwaan.

Rakyat berasa keliru kerana dicanangkan tidak mahu campurtangan asing ketika kempen pilihanraya Sarawak.

Namun segala perbuatan mereka yang berkenaan sememangnya melibatkan pihak asing, melainkan semua pihak asing berkenaan sudah mendapat Mykad seperti rakaman warga Bangladesh mengundi pada PRU13.

Agak menarik bila ada yang mengaku berjumpa penderma dan wakil penderma kemudian dilaporkan penderma telah pun meninggal.

“Di sinilah, cikgu kita mati ya Ramlee,” kata Sudin dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Selamat mengundi kepada rakyat Sarawak, buatlah keputusan yang bijak dan pantaulah semua proses selepas pengundian dengan teliti supaya kemungkinan sebarang salah laku proses pengiraan dapat diminimakan, Insha-Allah.


DR SYED ISKANDAR SYED JAAFAR AL MAHDZAR Peguam & Peguamcara Kuala Lumpur

Lihat Komen
ADS