Tulisan ini menyentuh mengenai ulasan dua orang tokoh dalam negara yang pertamanya seorang menteri kabinet, dan seorang lagi pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam mengenai isu mahasiswa dan situasi lesu di kampus yang semakin serius.
Ulasan Datuk Dr Shafie Salleh selaku Menteri Pengajian Tinggi bahawa penyakit mahasiswa hari ini, iaitu mengejar sehelai kertas yang dinamakan ijazah, menunjukkan berlaku kekeliruan mengenai tuntutan menuntut ilmu. Ilmu perlu difahami mengikut sudut pandangan agama dan semestinya mempunyai pandangan yang unik dan luas.
Mengenai tujuan menuntut ilmu juga, Islam memandang bahawa ilmu bukan sekadar untuk lulus peperiksaan, bahkan bukan untuk kepentingan duniawi di mana ijazah yang diperolehi nanti, dijadikan lesen mutlak untuk dapat gaji besar dan kerjaya yang baik. Islam mencela golongan yang menuntut ilmu semata-mata untuk kepentingan duniawi.
Ilmu perlu diperolehi dalam keadaan yang ikhlas dan jujur, untuk kepentingan pemilik segala ilmu itu, iaitu Allah dan memang kita betul-betul ikhlas dengan ilmu itu. Kita boleh perhatikan dan membuat perbezaan golongan yang menuntut ilmu kerana duniawi dan kerana Allah. Golongan yang menuntut ilmu kerana habuan duniawi ini tidak dinamik sifatnya, ibarat 'kereta separuh siap', kurang keberkatan hidup, tidak membantu masyarakat secara menyeluruh.
Ini berbeza dengan mereka yang ikhlas menuntut ilmu kerana Allah. Masalah yang dihadapi di sini bukan setakat kekeliruan mengenai tujuan menuntut ilmu, bahkan sikap malas dalam bersungguh-sungguh mencari ilmu. Kedua-dua sikap buruk ini membuatkan kita berbeza dengan kelompok bukan Islam yang bersungguh dalam menuntut ilmu.
Kadang-kadang kita terfikir juga, bagaimana orang Cina boleh berjaya dalam bidang akademik, orang Jerman boleh cemerlang sains dan teknologi, sedangkan mereka bukan orang Islam. Ini kerana mereka memiliki dua sikap yang membantu ikhlas dan jujur dalam menuntut ilmu dan ada kesungguhan yang luar biasa.
Ulasan Dr Baharudin Ahmad, pensyarah di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam adalah mewakili beberapa pensyarah yang prihatin dengan nasib kampus yang lesu daripada kegiatan intelektual dan keilmuan. Hujah beliau menjadi lebih serius dan merisaukan apabila perbandingan yang di buat antara kegiatan kampus di tanahair dengan luar negara, termasuk Amerika, Jepun dan Indonesia.
Universiti dipilih sebagai subjek perbincangan yang popular kerana di universitilah tahap pemikiran pelajar sudah dianggap matang, dan universitilah sebagai pusat pendidikan yang mampu melahirkan bahan kajian dan sumbangan akademik yang mantap.
Ini berbeza dengan pendidikan sekolah rendah dan menengah. Justeru, universiti di Barat dan Timur menjadi pusat keilmuan yang unggul dan pembekal tenaga manusia. Apabila dikatakan unggul, maka mahu tidak mahu, pengisian dalam universiti itu juga unggul.
Dalam konteks universiti di Malaysia ini, penulis memandang banyak aspek postif yang boleh membantu perkembangan minda dan peribadi, tidak diambil kira oleh mahasiswa. Sebagai contoh, kebebasan mengadakan program pemikiran tidak dimanfaatkan, progam yang integrasi sifatnya yang melibatkan mahasiswa Melayu, Cina dan India tidak dijalankan.
Malah, sokongan universiti dalam program-program motivasi, juga tidak memanfaatkan pensyarah yang berwibawa untuk diketengahkan dan mungkin banyak lagi. Ini semua berkait rapat dengan minda kreatif kita. Sebenarnya, tujuan pendidikan adalah untuk melahirkan manusia yang bersifaf holistik, bukan manusia yang menguasai satu bidang sahaja.
Dalam konteks inilah, kampus sebenarnya bukan sekadar dimeriahkan dengan program-program keintelektualan semata, tetapi ditambah dengan program kebudayaan, agama dan sebagainya, yang mempunyai nilai pembangunan sahsiah diri yang menyeluruh. Perkembagan universiti perlu penglibatan secara langsung mahasiswa melalui program-program yang diadakan.
Jika ini diambil kira, maka universiti akan hidup dan menampakkan wajahnya yang ceria dengan penglibatan aktif mahasiswa. Akan tetapi, semua masalah mahasiswa ini bukanlah masalah mutlak yang perlu diletakkan ke dalam kandang bersalah. Ianya juga melibatkan sistem pendidikan yang diterima oleh mereka sejak di sekolah rendah, menengah kemudian masuk ke universiti.
Sistem belajar untuk mendapat 'A' juga perlu dinilai kembali. Malah, mahasiswa adalah produk tenaga pengajarnya. Jika pengajarnya bagus, maka produknya juga bagus. Maka sistem pengajaran yang efektif dan efisyen perlu diperkenalkan bagi membantu mahasiswa mendapat ilmu dengan baik dan bakal memberi kesan yang positif kelak
Akhirnya, memahami ilmu dan dan tujuan menuntut ilmu juga akan membantu peribadi mahasiswa dalam pencapaian ilmu yang baik. Adalah penting mahasiswa diberi pandangan baru mengenai ilmu, agama, pendidikan, dunia dan cabaran-cabarannya, menurut sudut pandang Islam.
Penulis optimis, jika ini ditekankan, benarlah apa yang dikatakan oleh Muhammad Abduh, tokoh reformis: "Jika pelaburan besar dalam pendidikan dibuat, maka kita tidak akan bersusah payah memikirkan banyak perkara, dan inilah jalan yang terbaik".
Penulis adalah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
