Sejak seminggu yang lalu, jelas sekali Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo, berada dalam kepanasan gara-gara pendedahan mengenai pembangunan di sekitar Bukit Cerakah .
Ia bukan sebarang pendedahan kerana Utusan Melayu seperti sudah menyediakan bahan-bahan untuk siaran begitu lama, hinggakan setiap hari terdapat cerita eksklusif mengenainya.
Pendedahan ini tentulah merimaskan Khir Toyo kerana beliau sendiri pasti tampak agenda Utusan bukan lagi agenda akhbar.
Sungguhpun memenangi kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno dengan undi tertinggi, namun jawatan menteri besar terletak di tangan Pak Lah. Pak Lah pula jelas tidak serasi dengan Khir dalam isu ini.
Tidak cukup itu, New Straits Times pula memainkan isu tempat pembuangan sampah di Pulau Carey. Tetapi lupa pula mereka terhadap perjuangan pembangkang untuk menentang pembinaan insinarator di Broga . Mengapa? Sebab projek kerajaan pusat?
Khir Toyo juga pernah menghalang Tok Guru Nik Aziz Nik Mat berceramah di masjid-masjid di Selangor. Dia juga yang mengambil keputusan menghadkan penubuhan surau baru. Agaknya inilah balasan kerana mengongkong perkembangan Islam.
Tetapi hari ini, Khir Toyo sukar diselamatkan lagi. Bukan kerana alam sekitar, atau bukan kerana beliau tidak bekerja kuat, tetapi kerana dia akan menjadi saingan kepada menantu perdana menteri, iaitu Khairy Jamaluddin. Ini hakikat yang perlu diakui.
Khir Toyo tentu tidak dapat menentang Khairy yang berselindung di sebalik kuasa bapa mentuanya. Timbalan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri Noh Omar tentu gembira kerana cita-citanya menjadi mentri besar semakin dekat.
