Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Terpanggil rasanya untuk saya menambah komen yang diberikan baru-baru ini oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menegur Pusat Dakwah negeri yang menurut beliau tidak memainkan peranan sewajarnya dalam menggerakkan aktiviti keagamaan di negeri itu.

Ianya adalah merupakan satu teguran yang baik dan membina yang datangnya daripada seorang pemimpin negeri yang ingin melihatkan syiar Islam sentiasa bersinar di negeri ini.

Kompleks Pusat Dakwah Negeri Sembilan yang terletak di Paroi diakui tersergam indah tetapi ketandusan program berkaitan keagamaan. Kerana kurangnya penganjuran program keagamaan di situ, maka kompleks tersebut sering digunakan oleh agensi kerajaan, badan berkanun dan swasta serta parti politik untuk mengadakan program tertutup serta mesyuarat agung.

Sebagai pusat dakwah, mereka sepatutnya berfungsi sebagai pemantau dan penyelaras untuk program keagamaan anjuran jawatankuasa masjid, surau, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya.

Rangkaian komunikasi melalui sistem teknologi maklumat antara semua pihak di atas, haruslah dipertingkatkan lagi agar penganjuran sesuatu program itu dapat diselaraskan dan dihebahkan kepada masyarakat sekitar supaya sentiasa mendapat perhatian umat Islam di Negeri Sembilan.

Malah, jalinan kerjasama dan koordinasi ini tidak seharusnya terhad kepada badan-badan agama seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Kesatuan India Muslim Malaysia (Kimma), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Jemaah Islah Malaysia (JIM) serta jawatankuasa masjid serta surau.

Sebaliknya, kesempatan itu harus dipanjangkan kepada parti-parti politik yang mempunyai dasar perjuangan bangsa dan agama termasuklah Umno, melalui biro dakwahnya dan PAS melalui Lajnah Tarbiyyahnya.

Perbedaan pendapat dan pandangan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mereka sama-sama menangani penyakit masyarakat dan gejala sosial yang semakin kritikal sekarang ini.

Antara masalah yang begitu kritikal yang melanda umat Islam sekarang ialah begitu ramainya yang tidak mengerjakan solat fardhu lima waktu sehari semalam. Fenomena ini bukan hanya berlaku pada masyarakat umum, bahkan pada penyokong parti-parti politik yang memperjuangkan agama dan bangsa.

Apabila diperhatikan, semasa kempen pilihanraya terdapat penyokong parti-parti politik berkenaan yang mengabaikan solat fardhu. Fakta ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan seorang penceramah di negeri ini yang menyatakan hanya sepuluh peratus masjid dalam daerah Kuala Pilah yang ada jemaah untuk melakukan solat lima waktu. Lebih menyedihkan lagi, ada masjid yang tutup pada hari Jumaat.

Maka di sinilah peranan pusat dakwah untuk mengumpulkan semua data yang diperlukan ini, seperti berapa banyak masjid di Negeri Sembilan yang tiada jemaah untuk solat lima waktu, berapa banyak masjid tidak mendirikan solat Jumaat, berapa banyak masjid di mana ahli jawatankuasanya sendiri tidak pernah datang berjemaah di masjid dan seterusnya.

Dengan bantuan dan kerjasama badan-badan keagamaan dan parti-parti politik, bahkan Jemaah Tabligh, maka maklumat boleh disalurkan ke arah menghidupkan semula aktiviti keagamaan di masjid di seluruh daerah di Negeri Sembilan.

Menteri Besar telah memberi teguran, kompleks dan kemudahan sudah tersergam indah, kakitangan yang bergaji tetapnya ada, marilah kita rakyat Negeri Sembilan mengenepikan kepentingan peribadi dan politik untuk mempastikan syiar Islam sentiasa bersinar di negeri ini.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS