Paling Popular
Terkini

Sebagaimana kita sedia maklum, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan pada 1 April 2015.

Sungguhpun sistem percukaian GST tidak begitu popular di kalangan rakyat Malaysia; menurut pandangan pakar ekonomi tempatan, GST antara langkah terbaik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Keadaan tidak menentu ekonomi global ini disebabkan oleh beberapa faktor terutamanya kejatuhan harga minyak dan gas di pasaran global sejak pertengahan tahun 2014.

Harga naik tapi inflasi turun

Percukaian GST menyebabkan rakyat berbelanja dengan lebih berhati-hati kerana wujudnya kesedaran bahawa pendapatan boleh belanja mereka telah menyusut.

Langkah berjaga-jaga mereka, menurut Jabatan Statistik Malaysia menyebabkan kadar inflasi negara menurun daripada 2.6 peratus pada awal tahun 2016 kepada 2.0 peratus pada bulan April 2016.

Begitu pun, tidak kurang juga barang dan perkhidmatan yang dikecualikan daripada GST.

Sebagai contoh, menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia, sebanyak 8,630 jenama ubat-ubatan diberi pelepasan GST.

Pengecualian GST ini bukan sahaja menyebabkan jatuhnya kadar inflasi, tetapi juga meringankan beban kos perubatan golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang merupakan golongan majoriti rakyat Malaysia.

Kayakan negara

Selain menyebabkan rakyat Malaysia berbelanja berhemah, GST juga membolehkan golongan peniaga menuntut kembali kos cukai input mereka.

Tuntutan kembali kos cukai input daripada kastam seperti termaktub dalam Seksyen 8 Akta Syarikat 1965, membolehkan golongan peniaga memiliki aliran tunai cukup sepanjang masa.

Aliran tunai yang cukup membolehkan mereka menjalankan perniagaan dengan lebih mudah dan efisien.

GST dikatakan sebagai sumber pendapatan baru yang berkesan oleh kebanyakan pakar ekonomi tempatan, lebih-lebih lagi dalam situasi harga minyak di pasaran global hanya di sekitar AS$D50 hingga AS$60 setong.

Dua tahun lalu, tatkala harga minyak lebih kurang AS$100 setong, Petronas mampu menyumbang RM60 bilion kepada pendapatan negara.

Namun kini, dijangka sumbangannya akan menjadi jauh lebih rendah - antara RM23 bilion hingga RM31 bilion.

Menurut Rohami Shafie, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Perakaunan Universiti Utara Malaysia (UUM), sumber pendapatan GST tahunan meliputi 10 hingga 18 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Manakala, sebelum GST, sumber pendapatan daripada sistem percukaian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) hanya 8 peratus setahun.

Menurut Rohami dalam Dewan Masyarakat Mei 2016, pungutan GST sebanyak RM27.012 bilion berjaya dilaksanakan sehingga Disember 2015.

Bagi tahun 2016 pula dianggarkan sebanyak RM39 bilion akan dipungut melalui sistem cukai baru itu.

Rekod pungutan cukai GST ini mencerminkan sejauh manakah GST boleh mengukuhkan pendapatan negara untuk menghadapi situasi ekonomi global yang semakin mencabar dan membuat pelaburan dalam projek-projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Lebih baik dari SST

GST sememangnya satu sistem percukaian yang lebih baik daripada SST kerana kemampuannya mengutip cukai secara meluas dan dalam amaun yang tinggi secara sistematik.

Pungutan cukai tidak langsung ini juga dikatakan lebih berkesan kerana sumbangannya yang lebih besar berbanding dengan pungutan cukai langsung daripada individu.

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN), sehingga Disember 2015, seramai 791,239 individu serta 65, 545 syarikat tidak membayar cukai sejumlah RM8.2 bilion.

Pada hakikatnya, amaun sebesar ini boleh digunakan untuk pelbagai projek pembangunan rakyat.

Polisi kewangan

Najib dan pasukan pembuat polisi kewangannya bertanggungjawab untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara sentiasa dalam keadaan baik.

Justeru itu, mereka juga harus memastikan defisit fiskal negara pada tahap yang tidak begitu tinggi.

Sehubungan dengan itu, umum harus faham bahawa kadar pertumbuhan KDNK dan defisit fiskal dalam ekonomi negara itu akan dinilai oleh agensi- agensi penarafan antarabangsa.

Hasil penilaian ini akan digunakan oleh pelabur-pelabur asing untuk membuat penilaian tentang kedudukan ekonomi sesebuah negara sebelum membuat pelaburan.

Oleh hal yang demikian, pembuat dasar fiskal bertanggungjawab memastikan kadar pertumbuhan KDNK serta defisit fiskal menarik bagi pelabur asing.

Hal ini dikatakan demikian kerana pelaburan asing yang banyak bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negara tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat tempatan.

Lantaran itu, taraf kehidupan rakyat juga akan meningkat.

Sehingga kini, kadar pertumbuhan KDNK negara adalah sederhana iaitu antara 4 hingga 5 peratus.

Manakala, defisit fiskalnya pula pada tahap 3.1 peratus daripada KDNK.

Bacaan ini sememangnya mencerminkan keadaan ekonomi negara yang masih kukuh dan mampu menarik pelabur asing.

Ternyata, selain penyelarasan semula bajet pada Oktober 2015 berdasarkan ramalan harga minyak, iaitu AS$30 hingga AS$5 setong bagi tahun 2016; percukaian GST juga menyebabkan bacaan kadar pertumbuhan KDNK serta defisit fiskal yang menarik.

Lihat Komen
ADS