Paling Popular
Terkini

Telah masuk hari ke-23 umat Islam berpuasa, terpinggir semua kisah-kisah politik untuk kita lupakan sejenak setelah hampir sebulan mengharungi Ramadan yang mulia.

Tak lama lagi Syawal menjelang. Ramai akan meraikannya sebagai hari kemenangan dan takbir di hening dialunkan dalam nada yang sayu dan syahdu.

Bagaimanapun, beberapa hari lalu kecoh di media sosial bila salah seorang aktivis menceritakan pengalamannya, termasuk diherdik pelayan restoran, ketika makan di khalayak ramai di sebuah restoran.

Tanggapan kurang enak mula menjelma di benak fikiran masing-masing.

Ibadat keagamaan ini, yang sepatutnya membina sikap mulia diri manusia, entah mengapa tiba-tiba bertukar kepada sikap negatif dalam jiwa masyarakat.

Sejak dari awal lagi kita dididik agar “berpuasa” daripada segala segi, tidak kira rohani mahupun jasmani, bahkan emosi kita juga harus turut berpuasa.

Diberitahu juga bahawa puasa adalah ujian. Ia bukan sekadar menahan lapar dan dahaga.

Jika benar aktivis itu melakukan kesilapan, tidak adakah sedikit nasihat dan bimbingan yang baik buat dirinya tanpa menggunakan kata cacian dan makian?

Walhal Islam menegaskan umatnya supaya memaparkan keindahan akhlak dan nilai-nilai murni, lebih-lebih lagi dalam Ramadan yang mulia.

Menghindar diri daripada menuturkan kata-kata kurang sopan, walaupun ketika menegur seseorang, adalah perkara yang dititikberatkan dalam berpuasa.

Menegur untuk kebaikan dan hala tujunya juga harus ke arah kebaikan, bukan menimbulkan permusuhan sesama orang Islam.

Andai itu yang terjadi, maka terbit persoalan mengapa kita berpuasa? Pasti ada yang mudah menjawab kerana tuntutan agama dan perintah tuhan.

Ini adalah jawapan “copy-paste” yang cukup biasa kita dengar bagi mereka yang menjadikan puasa sekadar fesyen, sebagai pelengkap musim dalam kalendar hijrah.

Bukanlah niat memprovokasi, cuba kita meneroka persoalan mengapa dan untuk apa kita berpuasa.

Sejak mula lagi ibadah puasa secara muktamad dikaitkan dengan agama tanpa disedari puasa adalah perlakuan sejagat dan tindakan penentangan radikal.

Puasa jagat raya

Kadangkala kita terlupa seketika, dalam jagat raya ini ada makhluk yang harus berpuasa untuk mengatasi ketidakstabilan kehidupan.

Contohnya reptilia berbisa seperti ular tedung juga berpuasa untuk meneutralkan kandungan asid yang mula tepu dalam tubuhnya.

Dengan berpuasa, kandungan asid itu berubah menjadi pepejal dan akhirnya membentuk sesuatu yang dipanggil masyarakat kita sebagai “geliga ular” yang tersimpan dalam kerongkongnya.

Andai mahu diceritakan, berapa banyak makhluk di jagat raya ini yang berpuasa untuk mengimbangi kestabilan ekosistem, pasti artikel ini harus di tulis lebih panjang.

Namun dalam sejarah penentangan radikal, kita sering menyaksikan insan-insan berpuasa untuk menunjukkan tanda protes terhadap sesuatu ketidakadilan.

Seringkali mereka melancarkan mogok lapar. Inilah yang biasa kita dengar. Sudah pasti ikon yang tergambar dalam minda adalah sosok pembebasan nasionalis seperti Mahatma Ghandi.

Rentetan itu lahirlah siri-siri penentangan secara tanpa keganasan seperti hartal yang akhirnya mencorakkan peristiwa penting dalam sejarah kemerdekaan negara.

Justeru siapa akan percaya jika dikatakan bahawa puasa itu adalah proses awal kepada tercetusnya kebangkitan dan revolusi. Pasti ada yang mengatakan tidak masuk akal, walhal itulah realiti.

Jangan menidakkan realiti kerana sebab yang sama membawa kepada tercetusnya revolusi Perancis dan permulaan kepada kebangkitan penentangan sosialisme dan nasionalisme rakyat.

Jangan pula lupa pesan Imam Al-Ghazali dan ahli falsafah Karl Marx bahawa masalah manusia itu bermula daripada perut.

Sering kali rakan-rakan bukan Islam bertanya, mengapa aku tidak menyertai mereka bermogok lapar, tidak kira piket atau protes.

Aku sudah berlapar setiap tahun semenjak usia 6 tahun. Justeru mereka sering mengulangi pertanyaan untuk siapa aku bersetiakawan?

Aku berpuasa untuk bersetiakawan kepada sesiapa sahaja di dunia ini yang bangkit melawan penindasan dan ketidakadilan.

Di celah-celah kehidupan aku seakan terlihat Siddharta Gautama Buddha yang keluar daripada istana yang penuh dengan kekayaan dengan sehelai sepinggang setelah terlihat kemiskinan rakyatnya.

Membawa diri dengan berpuasa sehingga kebuluran semata-mata mahu mencari makna dan sinar cahaya kehidupan yang sebenar.


LEE SLIMSHADY bekas aktivis #occupydataran yang percaya perubahan melalui proses revolusi.

Lihat Komen
ADS