Paling Popular
Terkini

RM 30,000,000,000.

Satu jumlah yang amat besar, bukan?

Pertama sekali, bagi mereka yang kurang arif, di belakang nombor tiga di atas terdapat 10 angka sifar. Cara menyebut nombor di atas ialah “Tiga puluh bilion ringgit.”

Tiga puluh bilion ringgit adalah bersamaan dengan 30,000 juta ringgit.

Bayangkan jika anda merupakan seorang jutawan yang mempunyai satu juta ringgit di dalam akaun bank anda.

Dengan duit tersebut, anda mungkin boleh memiliki sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan elit di ibu negara. Anda juga mungkin boleh membeli tiga atau empat buah kereta mewah yang diimport dari luar negara.

Bayangkan semula jika satu juta ringgit anda didarab dengan 30,000. Subhanallah! Itulah 30 billion ringgit.

Menurut statistik Kementerian Pendidikan Malaysia, di Malaysia terdapat lebih kurang 10,000 buah sekolah rendah dan menengah dalam operasi.

Jika RM 30,000,000,000.00 dibahagikan dan diedarkan kepada semua sekolah di Malaysia, setiap sekolah akan menerima lebih kurang RM 3,000,000.00 (Tiga juta ringgit).

Apakah yang boleh sekolah lakukan dengan wang tersebut?

Wang itu boleh digunakan secara one-off untuk membiayai penambahbaikan infrastruktur seperti pemasangan dan penyelenggaraan pendingin hawa, pembinaan surau, dewan atau blok tambahan dan sebagainya.

Melabur

Wang tersebut juga boleh digunakan untuk pembelian komputer, bahan-bahan bantuan mengajar, LCD, dan sebagainya.

Sebaliknya, pihak sekolah juga boleh memilih untuk melabur wang tersebut. Jika anggaran pulangan yang diberikan ialah sebanyak enam peratus setahun, setiap tahun sekolah boleh
mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM 180,000.00 (180 ribu ringgit).

Sekolah boleh menggunakan dana tambahan ini untuk mengadakan lebih banyak aktiviti-aktiviti kurikulum dan kokurikulum, atau menggajikan guru untuk mengadakan kelas tambahan, sesi motivasi dan sebagainya.

Berjuta-juta anak didik kita akan mendapat manfaat, khususnya mereka yang berada di luar
bandar. Mereka tidak berkongsi tuah rakan-rakan sebaya mereka di bandar.

Jika bukan untuk pendidikan, mungkin jumlah tersebut juga cukup untuk membiayai projek-projek pengangkutan awam yang boleh mengeluarkan berpuluh atau beratus ribu
kenderaan daripada sistem jalanraya kita yang kini kian sarat dengan kenderaan.

Rumah-rumah kos sederhana juga boleh dibina di kawasan-kawasan strategik sekitar ibu negara
yang sedikit sebanyak akan membantu menampung permintaan rakyat yang tertekan dengan beban kos hartanah yang melambung tinggi.

Tentu juga wang tersebut cukup untuk menghijau, memulihara dan mencantikkan bandar-bandar utama negara, oleh itu membantu meningkatkan taraf kualiti hidup rakyat.

Malangnya, semua ini hanyalah angan-angan belaka.

Saban hari kita dikejutkan dengan perihal salah laku berskala besar yang melibatkan ketirisan dan penyelewengan wang daripada institusi-institusi awam negara.

Memuaskan nafsu

Minggu lepas, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, melalui Unit Pengambilan Aset Kleptokrasi (Kleptocracy Asset Recovery Unit), telah bertindak untuk menyita aset-aset yang dibeli menggunakan dana syarikat pembangunan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bernilai lebih daripada RM 4 bilion (Empat bilion ringgit).

Penyelewengan tersebut merupakan antara yang terbesar dalam sejarah negara. Dana negara diseleweng untuk membeli sebuah jet peribadi Bombardier, lukisan-lukisan Claude Monet dan Van Gogh, dan beberapa unit hartanah di bandar-bandar terkemuka dunia.

Dana negara juga dicuri untuk memuaskan nafsu anak tiri pegawai nombor satu negara yang ingin menerbit filem Hollywood, The Wolf of Wall Street. Ironisnya, filem tersebut telah
diharamkan di Malaysia kerana mengandungi unsur-unsur seks dan dadah yang keterlaluan.

Lebih menjijikkan lagi ialah lesapnya jutaan ringgit akibat dijudi di kasino-kasino lubuk maksiat terkemuka dunia, Las Vegas.

“Rakyat Malaysia telah ditipu secara besar-besaran,” jelas laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

Untuk menyimbah minyak dalam api pula, tersebar berita yang mendakwa bahawa jemaah kabinet akan meluluskan pemberian kontrak pembinaan landasan rel kereta api pantai timur secara direct award kepada syarikat milik kerajaan China dengan syarat bahawa harga sebutan dinaikkan daripada hanya RM 30 bilion kepada RM 60 bilion.

Lemasnya Firaun

Menurut dokumen-dokumen yang didedahkan laman web Sarawak Report, baki berlebihan
berjumlah RM 30 bilion akan digunakan oleh syarikat China tersebut untuk melangsaikan
segala hutang-hutang tertunggak 1MDB.

RM 30,000,000,000.00.

Ya Allah! Tidakkah jelek, jijik dan keji tindakan mereka yang bersubahat untuk melarikan
wang dan menggadai kedaulatan negara kepada kuasa asing?

Tidakkah mereka gerun dengan sifat Allah “Al-Muntaqim,” atau “Tuhan Yang Maha Memberi Balasan?”

Di manakah letaknya fitrah suci kemanusiaan di dalam lubuk sanubari mereka? Ke manakah hilangnya akhlak, integriti dan ketelusan mereka?

Ketahuilah bahawa sesungguhnya, tidak akan berubah nasib sesuatu kaum itu melainkan ia mengubah apa yang ada pada dirinya sendiri.

Pemerintah itu hanya akan terus memerintah dengan budi bicara rakyat itu sendiri. Jika rakyat tidak reda, tidak pasrah dan menolak sekeras-kerasnya sesuatu kepimpinan itu, maka akan hancur dan binasalah ia.

Seperti lemasnya Firaun ditelan Laut Merah, maka akan binasalah segala bentuk kebatilan di bumi Malaysia ini, dengan izin Allah.

Umum harus sedar bahawa pembaharuan dan reformasi menyeluruh amatlah diperlukan untuk menjamin masa depan negara.

Institusi awam yang bebas dan berani, penjawat awam yang berprinsip dan sistem perundangan yang kukuh akan memastikan bahawa kemajuan yang dinikmati akan berterusan.

Janganlah kita membiarkan segelintir perosak untuk terus memusnahkan negara.

Lihat Komen
ADS