Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Veteran Umno: Ada alasan kukuh sabitkan IS dengan Ibn Taimiyyah

Veteran Umno menyokong pendedahan oleh Datuk Ayub Khan Mydin Pithay, ketua penolong pengarah bahagian antikeganasan Bukit Aman terhadap pengaruh ajaran Ibnu Taimiyyah dalam gerakan IS.

Sebagai pegawai yang bertanggungjawab dalam usaha membanteras IS, Veteran yakin Ayub mempunyai alasan yang kukuh untuk menyabitkan gerakan IS dengan ajaran Ibnu Taimiyyah.

Veteran juga yakin pendedahan Ayub penuh dengan tanggungjawab tanpa berniat untuk menghina mana-mana pihak.

Oleh itu Veteran Umno mendesak supaya penemuan Ayub itu dihebahkan kepada semua majlis agama Islam seluruh negara untuk dijadikan sebagai panduan supaya ajaran Ibnu Taimiyyah dapat dikawal.

Veteran Umno juga meminta supaya jangan ada mana-mana orang atau parti politik yang cuba campur tangan dalam penemuan Ayub terhadap pengaruh Ibnu Taimiyyah dengan IS.

Ini soal keselamatan negara dan ancaman IS. Jangan kerana kita taksub dan kagum dengan Ibnu Taimiyyah maka kita membiarkan IS terus berkembang di negara ini.

Ibnu Taimiyyah mungkin hebat di zamannya tetapi tidak semestinya tetap relevan hingga sekarang.

Ibnu Taimiyyah mungkin seorang pakar rujuk dalam bidang-bidang tertentu tetapi bukan bermakna dalam semua bidang.

Oleh itu adalah tidak wajar untuk kita terpesona dengan ajaran Ibnu Taimiyyah apa lagi sekiranya kita hanya memetik beberapa aspek yang sesuai dengan cita rasa kita dari ajaran itu sehingga kita menjadi pentaksub tegar Ibnu Taimiyyah.

Veteran mengucapkan tahniah kepada Ayub atas usaha gigih beliau dan unitnya untuk membanteras pengaruh IS di negara ini.

Veteran bimbang dengan penambahan bilangan rakyat Malaysia yang telah menjadi anggota IS termasuk kanak-kanak, akan menarik minat lebih ramai rakyat negara ini yang memilih “jalan cepat ke syurga”.

Usaha Bukit Aman dan Ayob yang didokong kuat oleh Persatuan Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWAJA) patut dipuji.

Oleh itu, Veteran tidak akan membiarkan mana-mana orang atau parti politik campur tangan dalam urusan keselamatan negara ini.

Biarlah pihak polis yang lebih tahu dan profesional menyelesaikannya tanpa cubaan menghalang mana-mana pihak.


DATUK MUSTAPHA YAAKUB
Setiausaha
Veteran Umno

Lihat Komen
ADS