Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Citizens International mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara oleh Arab Saudi ke atas hospital di Yaman yang dikendalikan oleh Doktor Tanpa Sempadan (MSF) yang membunuh sekurang-kurangnya 11 orang dan mencederakan 19 yang lain.

Ini merupakan serangan keempat terhadap kemudahan yang dijalankan oleh MSF, pertubuhan sukarela berpangkalan di Paris, dalam tempoh kurang setahun.

Pada masa serangan itu terdapat 23 pesakit dalam pembedahan, 25 di wad bersalin, 13 bayi yang baharu dilahirkan dan 12 dalam wad pediatrik.

Dua hari sebelum itu serangan ke atas sebuah sekolah membunuh sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak dan mencederakan kira-kira 30 orang.

Mangsa berusia antara lapan dan 15 tahun.

Menurut Ravina Shamdasani, jurucakap bagi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), seramai 272 orang awam terbunuh dan 543 yang lain mengalami kecederaan dalam tempoh empat bulan, antara 11 April dan 11 Ogos.

Sejak Mac 2015, apabila Arab Saudi yang mengetuai gabungan negara Arab melancarkan kempen udara menentang pergerakan Ansarullah dan sekutunya, lebih daripada 9,000 orang terbunuh, 16,000 cedera dan 2.8 juta melarikan diri dari rumah mereka.

Pelarian ini hidup dalam kediaman yang kotor tanpa kemudahan sanitasi yang sempurna, air, makanan dan penjagaan kesihatan yang mencukupi.

Daripada 26 juta penduduk Yaman, 21.2 juta (33 peratus) memerlukan bantuan kemanusiaan; 14.4 juta (35 peratus) dianggap tidak mendapat jaminan makanan; dan 19.4 juta (48 peratus) tanpa akses kepada air minuman atau sanitasi yang selamat.

Serangan Arab Saudi itu juga telah memusnahkan kemudahan dan infrastruktur negara, merosakkan banyak hospital, sekolah dan kilang.

Pada 12 Ogos 2016, Koordinator Kemanusiaan di Yaman, Jamie McGoldrick mengeluarkan kenyataan bahawa beliau amat bimbang oleh peningkatan keganasan di seluruh negara itu.

Beliau berkata: “Laporan media tempatan menunjukkan kanak-kanak dan wanita dibunuh dan mengalami kecacatan, rumah dimusnahkan, dan kilang makanan dan pasar rosak atau musnah oleh pertempuran dan serangan udara.”

Kehabisan rizab mata wang asing di Bank Pusat mengakibatkan kesukaran bagi pengimport untuk mendapatkan kredit menjadikan hampir mustahil bagi entiti kerajaan untuk mengekalkan perkhidmatan sosial asas.

Terdapat 40,000 pesakit kanser di seluruh negara yang tidak lagi menerima ubatan yang diperlukan oleh mereka akibat sekatan oleh pihak bank yang menghalang import mereka.

McGoldrick menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik itu supaya mematuhi kewajipan di bawah undang-undang hak asasi manusia dan kemanusiaan antarabangsa dan untuk memudahkan akses kemanusiaan yang kekal dan tidak terhalang, selamat kepada mereka yang memerlukan serta pergerakan awam sukarela untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan.

Beliau menggesa komuniti antarabangsa melaksanakan pengaruh mereka terhadap pihak yang berkonflik untuk membawa penyelesaian aman dengan meletakkan penduduk Yaman sebagai keutamaan, yang diperlukan oleh semua rakyat Yaman.

Penyelesaian politik merupakan satu-satunya penyelesaian kepada krisis ini.

Amerika Syarikat yang sepatutnya mendesak kerajaan Arab Saudi supaya menghentikan serangan udara sebaliknya membekalkan senjata yang digunakan untuk membunuh wanita dan kanak-kanak di Yaman.

Hanya minggu lalu pentadbiran Barack Obama meluluskan penjualan 153 kereta kebal, beratus mesingan dan peralatan tentera lain dalam urus janji bernilai $1.15 bilion.

Majlis Keselamatan PBB telah tunduk kepada kuasa wang minyak Arab Saudi dan mengeluarkan gabungan negara yang diketuai oleh Arab Saudi daripada senarai hitam hak asasi kanak-kanak.

Ia diletakkan dalam senarai hitam selepas laporan PBB mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata berkata gabungan itu bertanggungjawab bagi 60 peratus daripada semua kematian dan kecederaan kanak-kanak di Yaman pada tahun lepas.

Menurut angka PBB, lebih daripada 510 kanak-kanak terbunuh oleh gabungan itu dan hampir 700 cedera.

Kumpulan itu juga dikatakan bertanggungjawab bagi separuh serangan ke atas sekolah dan hospital.

Kami menggesa Majlis Keselamatan PBB mengambil langkah segera dalam usaha untuk mengadakan gencatan senjata dan memulakan rundingan bagi mengakhiri konflik dan mencegah bencana kemanusiaan.


SM MOHAMED IDRIS pengerusi Citizens International.

Lihat Komen
ADS