Paling Popular
Terkini

Alhamdulillah, saat saya dapat ilham, kumpul dan pilih tips masuk universiti ini, saya juga masih seorang mahasiswa, menempuh tahun-tahun akhir pengajian di universiti tempatan.

Berdasarkan pengalaman, inilah 41 tips untuk adik-adik yang baru nak masuk universiti!

1. Jangan tinggal solat terutamanya berjemaah. Tak guna berjaya tapi tak solat. Malaikat di kubur tak tanya Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) kamu berapa.

2. Surau dan masjid itu pergilah. Hang ingat bina semua itu untuk hias universiti?

3. It takes a big heart to shape little minds. Jadi nawaitu pergi kelas tiap hari kena betul.

4. Seterika baju yang kau nak pakai untuk seminggu siap-siap. Kalau bangun lambat pun, kau tinggal sarung saja.

5. Jangan bercinta dengan abang fasilitator. Awak itu junior, dah kena bagi harapan palsu. Sabar abang-abang kacak yang lain tengah cuti.

6. Kalau sakit, tak sihat, jangan simpan dan pendam. Bagi tahu dekat pembantu mahasiswa atau Orientation Coucil (OC).

7. Berbaik dengan pensyarah, hidup anda akan lebih mudah di universiti.

8. Junior jangan buat stail, jangan kawal gelanggang futsal.

9. Dapat saja tugasan semester bahagi kerja, buat terus, kumpulkan dan serah. Jangan tangguh kerja!

10. Kalau boleh tandatangan jangan rumit. Nanti kalau perlu tak hadir kelas sebab ada hal senang untuk orang tandatangan.

11. Dapat baucar buku, terus cari kedai yang jual pencetak. Kamu akan terima kasih pada saya nanti.

12. Bina persahabatan dengan pelbagai fakulti. Agak-agak lepas tepu keluar dari bilik kuliah adalah geng untuk bergosip dan bincang isu semasa merentas bidang.

13. Jika terdengar jeritan menyeramkan seperti orang kena rasuk, jangan risau. Itu hanya rakan serumah yang sedang letih buat tugasan.

14. Jangan kawan dengan pensyarah dalam laman sosial. Kau tamat belajar nanti baru buat.

15. Masuk universiti jangan terlalu ghairah berpersatuan. Asal dapat belajar macam mana nak anjur program secara formal, sebar idealisme cukup.

Cukuplah jawatan sebagai alat, bukan matlamat. Selebihnya habiskan masa pada bidang sendiri dan ambil peluang meneroka disiplin ilmu yang lain secara mendalam.

16. Kalau program di universiti tak berapa mencabar minda dan membina kematangan macam buat donat terbesar, kuih terpanjang, jangan lokek duit dan malas untuk keluar cari ilmu dalam program di luar.

17. Hafal nama pensyarah awal-awal, nanti masa peperiksaan senang nak tulis, kalau tak kena potong markah.

18. Jangan fikir kau itu Rancho Chanchad 3 Idiot, tak belajar pun keputusan meletup. Jangan pula jadi Chatur yang nak kejar markah main hafal saja. Tak berguna.

19. Bangun semak dulu telefon, baru siap pergi kelas. Kalau madam/sir Whatsapp kelas batal, kaulah manusia paling bahagia.

20. Ada soalan lagi susah daripada peperiksaan akhir. Kau kena pandai jawab bila kawan tanya: "Nak makan di mana?"

21. Telefon bukan untuk mesej pensyarah masa dia mengajar. Hormat sikit.

22. Like laman Confession.

23. Kalau ada kawan tak berapa rapat ajak makan, sah syarikat jualan bertingkat (MLM).

24. Kalau badan berisi, kemudian ada awek asyik tersenyum pada kau, itu mesti nak jual produk.

25. Jangan fikir adegan buku jatuh kena langgar dengan crush akan berlaku. Kena langgar dengan pelajar sebab rebut bas adalah.

26. Jangan main-main dengan carry marks. Ia mainkan peranan penting untuk markah anda.

27. Jemaah bukanlah tempat yang buruk seperti yang dimomokkan. Aku sendiri banyak belajar dari jemaah Islam. Masuk jemaah bukan hanya untuk menerima, tapi juga untuk memberi. Aku budak jemaah dan aku OK. Mana yang baik dan bermanfaat kau ikut, yang mengarut dan buang masa kau persoal atau abaikan. Diri sendiri yang reda kena doktrin siapa suruh. Oh, doktrinisasi berlaku di mana-mana. Tinggal kau sendiri kena bijak sikit untuk tapis melalui pembacaan dan pergaulan luas.

28. Berkawan biar seimbang dengan cantik sikit, hodoh sikit. Jangan nak berkawan dengan geng-geng 'hot' saja. Sebab kamu pun bukan cantik sangat.

29. Jangan sesekali bercinta dengan rakan sekelas. Nanti putus, baru kamu tahu azabnya.

30. Telefon orang tua. Bukan masa tak ada duit baru nak telefon. Jangan gatal tambah nilai telefon kekasih.

31. Jangan percaya dengan ayat kawan, “Weh aku tak belajar lagi”.

32. Jangan buang masa jadi macai politikus/parti atau mana-mana figura. Fokus pada pembangunan peribadi, tapi jangan lupa sumbang sesuatu untuk orang sekeliling dan masyarakat.

33. Berkawan dengan semua orang. Tak payah nak rasa ahli syurga sangat. Yang belajar bidang agama ini terlebih lagilah aku nak suruh keluar dari lingkaran kamu.

34. Yang masih tak nampak hala tuju hidup lagi banyakkan berdamping dengan ahli akademik dan ilmuwan. Minta nasihat dan pandangan mereka.

35. Sebab polisi dan keputusan-keputusan universiti kita hanya akur kepada pasaran dan pemodal, aku tak rasa berbaloi untuk kita selalu cabar masa depan. Tapi kalau pentadbiran universiti itu 'jadong' sangat, kau lawanlah sikit.

36. Kalau silibus dan perbincangan usrah kamu masih lagi tahap 'Usrah Badar', aktiviti pun lebih banyak 'ukhuwwah geli-geli', tak perlu fikir panjang untuk angkat kaki.

37. Eloklah 'repress' dulu rasa gatal tu dari tahun 1. Bercinta ini komitmen. Tapi kalau dah tahun akhir tak ada yang nak lagi, kau pergilah minta pandangan kawan-kawan yang boleh jadi pendandan peribadi.

38. Jangan jadi pelajar 3K – kafe, kuliah, katil. Belajar di kuliah itu teori. Turun padang dan bersosial itu praktikal.

39. Bila sudah senior nanti, jadilah senior yang “super-duper sporting” untuk junior kamu. Payunglah nota-nota itu.

40. Kalau berpakaian macam orang agama, minta jaga imej baik-baik, sebab kalau kau silap sikit, bukan nama kau yang kena, Islam juga yang kena. Peringatan.

41. Kamu jaga Allah, Allah jaga kamu. Mudah. #TipsMasukU ini berlambak. Kamu kena bijak sikit saring dan pilih.

Yang baik jadi teladan, yang buruk jadi sempadan. Nasihat saya, sementara muda, kuat, sihat dan punya masa lapang, belum disibukkan dengan komitmen lain, perguna sebaiknya untuk menuntut ilmu.

Hidup ini sekali sahaja, banyakkan memberi, sangka baik, maafkan lain, kongsi manfaat, kongsi khidmat, itu erti hidup pada memberi.

Semoga Allah reda, terima amal kita. Terakhir, selamat menuntut ilmu! Selamat menempuh alam universiti dengan jayanya!

Semoga bermanfaat perkongsian ini.


AMIR 'IZZUDDIN MUHAMMAD ialah yang di-Pertua, Perwakilan Mahasiswa, Universiti Sains Islam Malaysia Darul Quran.

Lihat Komen
ADS