Paling Popular
Terkini
story images
story images

Lim Lian Geok: Jiwa Budaya Cina Malaysia telah dilancarkan oleh Datuk A Samad Said, sasterawan negara pada 3 September Sabtu lalu di Memorial Lim Lian Geok.

Pak Samad menyatakan bahawa beliau menghargai dan menyokong sumbangan Lim Lian Geok terhadap masyarakat Cina dan negara.

Akan tetapi gagasan Lim Lian Geok terhadap negara belum tercapai, apatah lagi keadaan sekarang lebih buruk daripada zaman kemerdekaan.

Beliau berharap anak muda menentukan apa yang telah diasaskan oleh Lim Lian Geok.

Beliau juga berharap orang Melayu mengkaji mengapa mereka tidak mempunyai watak atau tokoh seperti Lim Lian Geok.

Goh Kean Seng, pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG pula berkata bahawa LLG akan terus menyebarkan konsep pembinaan negara mendiang Lim iaitu “Hidup Berbilang, Makmur Bersama” dan menggalakkan interaksi antara kaum, demi kebaikan negara.

Harga buku baru tersebut adalah RM20, dan diberi potongan harga 20 peratus jika beli di Memorial Lim Lian Geok. Ia juga boleh dibeli melalui pos.

Demo kaligrafi Jawi dan kaligrafi Cina dijalankan selepas majlis pelancaran buku baru dan perasmian pameran khas.

Pak Samad telah menulis dua perkataan Cina dengan maksudnya “sangat baik” dan tandangan namanya dalam tulisan Jawi.

Cikgu Ishak Surin pula telah menulis “Hidup Berbilang Makmur Bersama” dan “bersatu teguh bercerai roboh”dalam tulisan Jawi.

Empat orang penulis kaligrafi Cina pula bersama-sama berdiri menulis teks penuh “Persoalan Pembinaan Jiwa”.

Forum 

Forum bertemakan “Hidup berbilang, Makmur Bersama”, Realiti atau Retorik? telah dijalankan selepas jamuan ringan.

Ishak, K Arumugam, Zurdi Baharu (paib pengerusi JOAS) dan Lim Hong Siang, penterjemah buku baru tersebut, berbincang tentang perhubungan antara etnik sekarang serta konsep pembinaan negara yang didukung mendiang Lim.

Mereka bersetuju dengan gagasan pembinaan negara Mendiang Lim, tetapi perjuangan itu masih panjang lagi.

Dalam forum itu, Arumugam menunjukkan dengan data bahawa sesuatu kumpulan yang terdiri daripada pelbagai kaum akan melaksanakan tugas dengan lebih baik daripada yang terdiri daripada satu kaum saja.

Beliau juga berpendapat bahawa “inklusif” lebih sesuai daripada “integrasi” dalam situasi negara kita.

Lim pula berpandangan bahawa dialog antara kaum harus dijalankan dengan lebih banyak untuk melahirkan satu visi negara yang diterima oleh semua kaum di Malaysia, dengan adanya kesedaran sivik di kalangan warganegara.

Zurdi menyatakan hubungan orang asal dengan kaum lain masih “disekat” pada ketika ini, tetapi orang asal tetap akan bergaul dengan kaum lain supaya keadaan orang asal dapat diperbaiki dengan mempelajari kaedah yang berkesan digunakan oleh kaum lain dalam memperjuangkan hak-hak mereka dan memperkembangkan kebudayaan mereka.

Ishak berharap pihak penganjur mengadakan aktiviti sebegini di komuniti Melayu supaya lebih ramai orang Melayu mengenali Lim Lian Geok.

Selain aktiviti tersebut di atas, majlis Anugerah Pertandingan Filem Pendek “Hidup Berbilang” juga akan diadakan pada 2:30 petang, 25 September di Memorial Lim Lian Geok, No 89 & 91, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur, sempena ulang tahun ke-60 perutusan “Pembinaan Jiwa” disampaikan.

Pengundian atas talian pertandingan itu dijalankan sehingga 17 September 2016.

Bagi mereka yang berminat, sila layari laman aktiviti (fb.com/events/737738823033894/) atau hubungi pihak penganjur, iaitu Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (03-21.422.496 Cik Yap / Cik Tan) untuk maklumat selanjutnya.

Lihat Komen
ADS