Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mendengar temubual Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM), Chin Sung Chew bersama BFM Radio yang disiarkan pada 29 Mei lepas memang sedap untuk halwa telinga tetapi realitinya, kesatuan itu tidak lagi memenuhi aspirasi wartawan-wartawan yang bernaung di bawahnya.

Ini kerana NUJM tidak lagi melindungi wartawannya yang telah bernaung selama berpuluh-puluh tahun di bawah kesatuan itu tatkala seorang bekas presiden NUJM yang telah dibuang kerja lima tahun lepas dibiarkan serta dilupakan sehingga proses perbicaraan di Mahkamah Perusahaan terpaksa diharungi sendirian dengan tidak ada satu senpun bantuan kewangan diberikan.

Justeru, wartawan negara ini memerlukan kesatuan sekerja baru yang dapat memberikan perlindungan kepada setiap wartawan tidak mengira media cetak, elektronik, portal berita dan juga wartawan sambilan yang kini berdepan skop tugasan mereka semakin mencabar.

NUJM sudah terlalu usang, perlembagaannya tidak lagi dapat mencakupi keperluan wartawan semasa malahan perlembagaannya masih lagi tertumpu kepada media cetak, pembaharuan yang cuba dilakukan oleh pegawai kesatuan dulu terus dibuang ke dalam tong sampah, pegawai kesatuan yang ada sekarang tidak ingin untuk berubah.

Ayuh semua, para wartawan perlukan kesatuan sekerja yang baru malahan NUJM kini boleh diibaratkan telah menjadi busuk, meminjam kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menyifatkan sebuah parti politik sebagai busuk hingga ke ususnya.

Penipuan dan manipulasi

Ini kerana berlaku penipuan dan manipulasi dalam proses pemilihan para pegawai-pegawai kesatuan yang telah berlaku dalam dua pemilihan dwi-tahunan NUJM sebelum ini atau mungkin lebih lama lagi.

Mereka takut kemungkinan hilang jawatan walau tidak mampu untuk memenuhi aspirasi keperluan wartawan sekarang dan kerana itulah, mereka pastikan dapat mengekalkan lagi jawatan tersebut dengan melakukan penipuan yang senang dan mudah dilakukan dalam pemilihan NUJM.

Inilah caranya untuk kekal sebagai pegawai kesatuan di NUJM.

Pegawai-pegawai NUJ peringkat cawangan pula bersekongkol dengan membuat pakatan dengan cawangan lain untuk membahagi-bahagikan jawatan di dalam kesatuan, siapa yang akan menjadi presiden, naib presiden, setiausaha agung, timbalan setiausaha agung, bendahari dan timbalan bendahari.

Semuanya telah dirancang dan diatur dengan baik berdasarkan kepada keahlian cawangan-cawangan yang hanya berjumlah 1,300 ahli.

Matematiknya mudah kerana untuk menjadi Presiden NUJM, sebagai contoh, sekiranya ingin melihat seorang presiden dari akhbar berbahasa Cina seperti sekarang, persekongkolan berlaku sejak awal lagi dengan gabungan cawangan dari akhbar Cina yang mempunyai ahli dalam 600 orang tidak mungkin akan mendapat kemenangan.

Oleh itu, mereka memerlukan sokongan dari cawangan akhbar berbahasa Melayu yang mempunyai 300 ahli, maka, sokongan yang diperolehi ialah 900 ahli maka tentunya akan mendapat kemenangan pada pemilihan.

Memastikan kemenangan, penipuan dilakukan sejak awal lagi dengan kertas-kertas undi dipangkah sejak awal lagi.

Malahan kertas-kertas undi untuk ahli-ahli cawangan di negeri-negeri tidak pernah di serahkan kepada mereka, sebaliknya dipangkah oleh pegawai-pegawai cawangan di ibu pejabat cawangan untuk dimasukan di dalam peti undi.

Perkara ini berlaku dalam pemilihan sejak tahun 2010, pegawai-pegawai kesatuan yang dipilih dalam NUJM bukanlah dipilih secara demokratik atau pilihan ahli sebaliknya ditentukan oleh pegawai-pegawai kesatuan cawangan yang dibuat melalui penipuan.

Terpanggil untuk mendedahkan

Saya mendedahkan perkara ini kerana tidak sanggup lagi menyimpan rahsia yang tersimpan sejak sekian lama dan merasakan sudah tiba masanya ahli-ahli dimaklumkan pekara yang sebenar.

Ini bagi membolehkan mereka mampu memilih presiden yang benar-benar dipilih oleh ahli-ahli bukan kerana penipuan serta manipulasi di peringkat cawangan.

Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja perlu memantau pemiihan NUJM akan datang bagi memastikan tidak akan berlaku penipuan serta manipulasi lagi.

Mereka boleh membuat pakatan antara cawangan tetapi menipu undi merupakan satu kesalahan yang perlu dihentikan di dalam NUJM kerana pemilihan untuk pegawai kesatuan akan dilakukan pada September ini.

Malangnya, pemilihan di peringkat cawangan telah dijalankan pada April hingga Jun yang lepas.

Yang pasti, pegawai-pegawai cawangan telah mula membuat pakatan untuk memastikan blok mereka memenangi pemilihan dan pastinya mereka merancang penipuan seterusnya.

Tentunya saya mempunyai bukti atas penipuan-penipuan ini dan tentunya saya akan sanggup bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja untuk menghentikan amalan yang telah berakar umbi bertahunnya di dalam NUJM.

Kesatuan sekerja baru wartawan Malaysia

Oleh itu, wartawan-wartawan Malaysia memerlukan kesatuan sekerja baru yang mana pendaftaran ahli perlu dilakukan secara terus ke ibu pejabat kesatuan.

Pemilihan harus dilakukan oleh ibu pejabat dengan setiap kertas undi diposkan terus kepada ahli tanpa menggunakan orang ketiga kerana berpotensi untuk berlaku penipuan undi seperti mana yang berlaku di dalam NUJM.

Paling penting keahlian kesatuan perlulah terbuka kepada semua wartawan, media cetak, portal, elektronik dan juga wartawan sambilan kerana perlindungan harus diberikan kepada semua.

Biarkan ibu pejabat kesatuan yang berurusan berkaitan dengan soal gaji seperti mana Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) yang berunding terus dengan majikan.

Seperti mana Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang Malaysia (NUPMW) di mana perjanjian mengenai gaji dan terma-terma pekerjaan dirunding secara langsung dengan kumpulan pemilik ladang.

Kedua-dua persatuan ini hanya mempunyai satu set terma-terma perkhidmatan, tidak ada dua atau tiga seperti NUJM dimana setiap cawangan mempunyai perjanjian kolektif mereka sendiri.

Biarkan wartawan hanya ada satu perjanjian kolektif di antara kesatuan dengan kumpulan pemilik syarikat media, disitu barulah semua wartawan akan mendapat terma perkhidmatan yang sama rata, maka tidak ada seorang wartawan pun akan mengalami diskriminasi terma perkhidmatan terutama dari segi gaji dan perkhidmatan.

Ayuh mari wartawan semua bersatu untuk menubuhkan kesatuan sekerja baru, tentunya ramai antara wartawan muda mampu mengalas tanggungjawab ini.


Hata Wahari bekas presiden NUJM sesi 2010-2012 yang dipaksa meletak jawatan kerana kelantangannya menuntut kebebasan media di Malaysia.

Lihat Komen
ADS