Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Usaha kerajaan baru-baru ini untuk mewujudkan sebuah taman dalam bandar yang dinamakan Taman Tugu boleh melibatkan juga pembinaan tempat khas untuk orang awam berucap.

Ia lebih dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai speaker’s corner.

Dengan adanya sebuah tempat khas untuk bercakap, ia dapat memberi ruang dan peluang kepada pihak kerajaan untuk lebih mendekati rakyat.

Speaker’s corner ini dapat memberi pelbagai faedah, bukan sahaja terhadap orang awam malah terhadap pihak pemerintah sendiri.

Ia dapat memberi peluang kepada rakyat umum memberi syarahan mengenai sesuatu isu.

Ia juga dapat melatih orang awam yang menggunakannya lebih profesional menyampaikan sesuatu perkara kerana sudah pasti akan wujud peraturan umum yang perlu dipatuhi sekiranya mereka ingin menggunakan kemudahan berkenaan.

Speaker’s corner berkenaan juga dapat menjadi satu simbol kebanggaan terhadap negara yang mengamalkan prinsip demokrasi yang membuka peluang kepada rakyatnya untuk bersuara.

Banyak negara-negara maju sudah pun memiliki speaker’s corner dan ia juga terletak di kawasan ikon taman bandar mereka seperti di Hyde Park, London, United Kingdom, di Domain, Sydney, Australia, di Regina, Saskatchewan, Kanada, di Spreeksteen, Amsterdam, Belanda, di Albert Park, Auckland, New Zealand, serta di Hong Lim Park, Singapura.

Sebagai negara yang sedang menuju status negara maju menjelang tahun 2020, tiada salahnya Malaysia memiliki speaker’s corner sendiri yang tertakluk kepada undang-undang serta prinsip sosial tempatan.

Hak untuk berkumpul dan bersuara adalah hak universal semua manusia termasuk Malaysia.

Ini jelas termaktub dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948 melalui artikel 19.

Hak yang sama juga jelas termaktub melalui Perlembagaan Persekutuan negara kita melalui artikel 10(1).

Walaupun begitu, seperti yang diketahui umum, tiada hak asasi yang tidak mempunyai batasannya termasuklah hak untuk berkumpul dan bersuara.

Sebarang isu sensitif yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam perlu dielakkan.

Oleh itu, kewujudan speaker’s corner perlu digunakan dengan sebaiknya oleh orang awam serta tidak menyalahgunakannya untuk mencapai tujuan peribadi, melakukan fitnah atau menyebarkan cerita tanpa bukti kukuh atau menghina mana-mana pihak.

Sebarang perancangan untuk mewujudkan speaker’s corner dalam negara kita perlu mematuhi segala peraturan antarabangsa mengenai hak asasi manusia serta pada masa yang sama mengambil kira undang-undang tempatan sedia ada.

Garis panduan umum boleh dikeluarkan bagi mana-mana individu yang ingin menggunakan kemudahan speaker’s corner juga perlu memenuhi beberapa kriteria supaya ingin dapat memberi keselesaan bukan sahaja terhadap penceramah malah kepada orang awam yang datang hadir.

Selain daripada cadangan mewujudkan speaker’s corner di Taman Tugu, setiap negeri dalam negara kita juga digalakkan untuk mewujudkan speaker’s corner masing-masing supaya memudahkan rakyat negeri berkenaan menggunakannya.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Lihat Komen
ADS