Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Alumni Sekolah Demokrasi mengutuk tindakan pihak Universiti Malaya yang meminta saudari Anis Syafiqah mengemukakan surat tunjuk sebab kerana terlibat dengan Perhimpunan Tangkap Malaysian Official 1.

Dalam surat yang bertarikh 12 Oktober 2016 oleh Profesor Datuk Dr Rohana Yusof selaku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaya, Anis sebagai jurucakap Tangkap MO1 dikatakan merosakkan atau memudaratkan kepentingan, kesejahteraan dan nama baik universiti.

Kami Alumni Sekolah Demokrasi dengan sekeras-kerasnya menolak tuduhan yang mengatakan ia merosakkan atau memudaratkan nama universiti.

Anis dan rakan-rakan sebaliknya telah menjadi teladan dan ikon kepada masyarakat atas keberanian beliau meminta agar pihak berkuasa menangkap dalang yang telah memalukan imej negara di mata dunia.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, Anis berhak untuk melibatkan diri dalam apa jua perhimpunan aman kerana hak itu dijamin di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

Tindakan beliau menganjurkan demonstrasi Tangkap MO1 bukan saja tidak bertentangan dengan Perlembagaan malah menjunjung semangat dan nilai yang diangkat Perlembagaan Malaysia.

Bersempena dengan majlis konvokesyen UM yang sedang berlangsung, sudah tentu masyarakat mengharapkan graduan yang dihasilkan adalah mereka yang akan menyumbang kembali kepada masyarakat dan dapat memimpin Malaysia ke arah yang lebih baik.

Di samping memupuk kecemerlangan akademik melalui kuliah, pihak universiti disaran menyemai jiwa membela masyarakat melalui aktivisme-aktivisme seperti yang dilakukan oleh Anis dan rakan-rakan.


ALUMNI SEKOLAH DEMOKRASI sebuah program pendidikan politik DAP.

Lihat Komen
ADS