Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Demi menjaga kesihatan rakyat negara ini buat jangka masa panjang, penting supaya sebarang bahan yang boleh mengundang ketagihan serta masalah kesihatan diberi peningkatan cukai secara berterusan.

Ini bagi memberi tekanan psikologi serta mengurangkan beban kewangan mereka yang ketagih dengan penggunaan bahan berbahaya terhadap kesihatan.

Ia antaranya produk berasaskan tembakau.

Umum mengetahui bahaya ketagihan merokok. Ia bukan sahaja mengundang bahaya kepada si perokok, malah orang sekeliling yang terkena asapnya.

Pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan, terutamanya melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk memberi pendedahan serta kesedaran mengenai bahaya merokok.

Ia dibuat melalui iklan serta penguatkuasaan undang-undang.

Kerajaan juga sering melakukan penambahbaikan daripada sudut perundangan bagi membendung budaya negatif itu.

Baru-baru ini kerajaan menambah bilangan zon larangan merokok yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004, Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi membendung ketagihan merokok, ramai lagi yang mengambil mudah serta memandang ringan isu ini.

Tidak keterlaluan dikatakan, merokok seakan-akan satu budaya badi penggemarnya.

Lebih malang lagi, aktiviti ini sudah mula menular di kalangan golongan remaja yang masih bersekolah.

Golongan terbabit sekarang sudah kelihatan berani merokok di tempat awam tanpa segan-silu, seperti pusat beli-belah, perhentian bas, kedai makan, sekolah dan taman rekreasi.

Walaupun wujud undang-undang kawalan jualan rokok bagi golongan bawah umur, penjualan pada golongan itu masih berlaku.

Oleh yang demikian, sudah sampai masanya langkah lain diambil bagi membendung isu penjualan serta ketagihan dalam negara kita.

Langkah menaikkan cukai barangan berasaskan tembakau perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Jika cukai rokok dinaikkan, sudah pasti harganya turut naik.

Jika harga rokok naik, individu yang terlibat akan mula berfikir banyak kali sebelum membeli sekotak rokok.

Cadangan kenaikan cukai rokok bukanlah cadangan baru. Pelbagai pihak, terutamanya NGO serta persatuan-persatuan pengguna turut berkongsi pandangan sama.

Kebanyakan persatuan penguna merasakan penguatkuasaan tegas mengenai pada produk tembakau boleh dilaksanakan melalui kaedah percukaian, selain penguatkuasaan undang-undang.

Lihat Komen
ADS