Kenaikan harga petrol dan barangan keperluan lain seharusnya merapatkan lagi persaudaraan di kalangan umat Islam di Malaysia ini. Ianya sepatutnya merapatkan ukhuwwah antara yang kaya dan yang miskin, yang mewah dengan yang memerlukan, antara pengarah syarikat dan anak buahnya, antara majikan dan pekerja.
Sekiranya kita ada duit simpanan yang beribu-ribu atau mungkin berjuta-juta, tangguhkanlah dahulu cita-cita untuk menukar kereta baru, sedangkan kereta yang sedia ada masih elok lagi bak kata orang Negeri Sembilan tak 'nyonyeh lai'. Sekiranya kita ada rumah banglo, tangguhkanlah dahulu untuk di tambah lagi.
Jika selama ini kita sanggup berpusu-pusu membantu mangsa tsunami, baik dalam negara mahu pun di Aceh, bantulah pula orang di sekeliling kita yang mereka ini kita tidak kenal, makan nasi berlaukkan garam.
Sekiranya kita ini hidup seperti katak di bawah tempurung, tidak kenal siapa yang susah walaupun mereka ini jiran tetangga kita, carilah badan kebajikan atau pertubuhan bukan kerajaan di sekeliling kita yang didatangi hampir setiap masa oleh mereka yang memerlukan bantuan.
Sekiranya mereka yang susah ini terutama yang rapat dengan kita, jiran kita, saudara kita tidak dibantu, kelak ianya akan memakan diri kita sendiri kerana tidak mustahil anak-anak mereka yang kesempitan hidup akan terlibat dalam gejala yang tidak sihat.
Sebagai umat Islam kita harus sentiasa ingat bahawa segala kemewahan yang ada pada kita, simpanan Tabung Haji kita, simpanan KWSP kita, saham kita, semua itu adalah milik Allah kesemuanya. Allah boleh menarik balik nikmat yang diberikan dalam sekelip mata.
