Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Umat Islam, pada dasarnya, hidup dengan prinsip-prinsip liberal. Oleh itu, janganlah kita terlalu hairan apabila timbul berbagai isu-isu anti-Islam yang dibangkitkan oleh pihak Islam dan juga bukan Islam. Cuma waktu ini, suara-suara anti-Islam agak berani dan lantang. Mungkin antara sebab dan musababnya ialah senario pasca 11 Sept serta perang Amerika Syarikat (AS) menentang khayalan terrorisme.

Juga laungan presiden AS mengenai hasratnya untuk mengekspot 'kebebasan' dan keghairahan golongan liberal di Barat, juga pelbagai pihak kanan konservatif dan Kristian dalam isu hak-hak asasi manusia. Golongan liberal di Malaysia mendapat isyarat bahawa masanya sudah sampai untuk Malaysia pula mendapat habuan kebebasan prisip kebendaan liberal ini.

Hakikatnya, saya tidak ingin membawa budaya kritik mengkritik tanpa tujuan dan sebab, tetapi kita harus sedar akan hakikat ini. Sekiranya kita tidak memahami sebabnya, tidak mungkin boleh dihasilkan natijah penyelesaian yang tepat. Kalau kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno masih terus menerus mengekalkan strategi lama pembangunan dan pemerintahan negara melalui jalan liberal maka jalan penyelesaian jangka panjang kepada permasalahan sentimen anti-Islam tidak mungkin selesai.

Kalau Umno sebagai parti orang Melayu yang beragama Islam paling besar, laungan Islam Hadhari oleh perdana menteri mestilah dibuktikan dengan bersungguh-sungguh. Penghayatan prinsip Islam Hadhari, terutamanya pembinaan masyarakat berasaskan iman dan takwa, mestilah dilaksanakan dengan jujur.

Kejayaan harus dinilai melalui sejauhmana umat Islam menghayati iman dan takwa dan sedalam mana nilai-nilai keimanan dan ketakwaan tadi menjadi tunggangan dalam pergaulan masyarakat Islam dan bukan Islam. Ia tidak perlu dirisaukan oleh pihak bukan Islam kerana nilai-nilai Islam adalah jauh lebih mulia daripada nilai-nilai liberal. Mereka kadangkala bercakap disebabkan kejahilan dan prejudis.

Hakikatnya ialah menjadi tugas kita untuk terus menerus memperjelaskan Islam kepada mereka dengan baik dan secara berhikmah. Adakah kekerasan, emosi dan ancaman penggunaan undang-undang boleh memperbaiki keadaan ini dalam jangka panjang?

Saya yakin tidak, kerana kebencian dan kesangsian akan bertambah, prejudis menebal, akhirnya agama Islam yang suci ini menjadi mangsa akibat tindakan penganutnya yang lemah. Punca yang paling ketara sentimen negatif terhadap Islam ialah kelemahan umat Islam itu sendiri.

Kita boleh salahkan Zionis Yahudi atau Amerika Syarikat, tapi jangan lupa untuk lihat juga kepada diri kita sendiri. Gagasan umat Islam adalah gagasan yang paling kaya dari segi hasil bumi tetapi hakikatnya adalah paling lemah dan berpecah.

Kalau di Malaysia, dalam banyak keadaan kita perlu subsidi untuk berjaya, kita kaya dengan masalah moral, dan juga masyhur dengan ketebalan fahaman politik yang kadangkala tidak produktif. Pendek kata, seharusnyalah kita melihat satu paradigm baru yang mementingkan kebaikan umat Islam sejagat, bukan kacamata kecil satu kelompok atau sebarang objektif jangka pendek.

Dalam isu sentimen negatif terhadap Islam, kita perlu tekanan terus menerus dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik Islam untuk memastikan kerajaan BN menghormati landasan Islam, yang menjadi agama rasmi negara dan juga 'slogan' dasar pembangunan kerajaan melalu Islam Hadhari. Umno sebagai tunjang kerajaan BN hendaklah membuktikan komitmen terhadap nilai-nilai Islam yang murni itu.

Penyertaan pelbagai NGO Islam dalam sebarang tindakan adalah wajar supaya sentimen negatif terhadap Islam ini tidak berterusan. Di samping itu, dialog, perbincangan, seminar dan penjelasan terhadap pelbagai salah faham mengenai agama Islam, mestilah berjalan serentak dan terus menerus, lebih-lebih lagi sekiranya diterajui oleh kerajaan sendiri.

Golongan profesional Islam mestilah sedar akan kepentingan mereka ini sebagai duta kepada agama Islam yang suci ini.

ADS