Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kenaikan harga minyak untuk bulan November menzahirkan negara sedang mengalami krisis kewangan yang meruncing.

Kenaikan ini adalah tertinggi dalam tempoh tahun ini apabila RON95 berharga RM1.95 seliter, RON97 (RM2.30) dan diesel (RM1.90).

Harga baru ini sudah pasti disambut negatif oleh masyarakat yang kini dalam keadaan yang sangat tertekan dengan kos kehidupan yang semakin meningkat.

Kenaikan harga bahan bakar ini akan menyebabkan kenaikan harga-harga barangan berdasarkan keadaan dan pengalaman sebelum ini.

Ini akan menambahkan lagi bebanan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Biarpun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru sahaja membentangkan Belanjawan 2017, tidak sampai sebulan kerajaan membuktikan belanjawan itu tidak realistik kerana negara mengalami krisis kewangan.

Kerajaan sendiri menunjukkan kepada masyarakat bahawa belanjawan negara untuk tahun depan tempang dan sukar untuk dilaksanakan.

Rakyat baru sahaja dimomokkan dengan belanjawan yang 'enak' di mata masyarakat, ini termasuklah pengumuman kenaikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Belum sempat rakyat 'menikmati' bantuan tersebut, poket rakyat telah 'dicuri' melalui kenaikan harga minyak.

Rakyat perlu melihat kenaikan harga minyak ini sebagai bukti kerajaan yang ada pada hari ini tidak lagi memikirkan kepentingan rakyat, sebaliknya membuat kerja mudah untuk mendapatkan dana dengan menaikkan harga minyak!


MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR pengarah komunikasi Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH).

Lihat Komen
ADS