Saya sebagai seorang bekas pelajar ajaran Ayah Pin merasa terpanggil untuk memperjelaskan tentang ajarannya yang telah memesongkan saya selama tiga tahun sebelum ini.
Saya mengikuti ajaran Ayah Pin melalui kawan karib saya, Lepat, yang satu masa dulu pernah menjadi tajuk berita apabila anaknya dibawa lari ke England oleh bekas isterinya.
Saya adalah seorang yang selama ini jauh daripada Allah. Oleh itu, saya ingin mendekati-Nya setelah banyak berdosa. Inilah yang membuatkan saya boleh memasuki ajaran Ayah Pin yang saya fikir dapat menenangkan jiwa kosong saya.
Tetapi lama kelamaan, saya menjadi keliru kerana sepanjang mengikuti ajaran Ayah Pin, dia menyeru para pengikutnya agar tidak menunaikan sembahyang kerana menurutnya bagaimana kita mahu sembahyang sedangkan kita belum lagi mengenal Allah.
Tambahan pula, dalam majlis-majlis pengajiannya, percampuran di antara lelaki dan perempuan berleluasa. Saya semakin keliru apabila orang yang rapat dengannya memberitahu saya bahawa Ayah Pin adalah Imam Mahdi.
Satu peristiwa lagi yang telah menyedarkan saya hingga membuatkan saya meninggalkan ajaran Ayah Pin ialah apabila saya mendapati Ayah Pin membina kekayaan peribadi melalui kutipan duit daripada kami semua pengikut ajarannya.
Ayah Pin mengatakan bahawa beliau perlukan wang yang banyak untuk meneruskan perintah Kerajaan Langit untuk 'menyedarkan semua insan' khususnya di Malaysia dan amnya di dunia.
Ayah Pin juga selalu menanamkan dalam minda kami bahawa dia akan menjadi perdana menteri tidak lama lagi dengan bantuan Kerajaan Langit.
Saya menyeru kepada pengikut Ayah Pin dan rakan-rakan saya yang lain agar segera kembali ke pangkal jalan dan bertaubat sebelum Allah mengenakan azab ke atas mereka semua yang memesongkan ajaran Islam yang sebenar.