Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Cadangan Umno untuk menubuhkan universitinya sendiri di negara ini bukanlah sesuatu yang luar biasa yang melayakkan ianya untuk mendapat tajuk berita utama di dada akhbar. Lainlah ceritanya sekira parti Keadilan atau PAS yang bercadang untuk menubuhkan universiti sendiri.

Universiti Umno mungkin tidak ada bezanya dengan universiti awam tempatan (IPTA) yang ada pada hari ini. Umum mengetahui sejak kebelakangan ini, cuma orang kuat yang 'pro-Umno' sahaja layak menduduki jawatan tertinggi dalam universiti. Hujah-hujah dan ulasan kebanyakan naib canselor, adakalanya, umpama lebih sudu dari kuah. Lebih politik dari orang politik.

Umum sudah mengetahui betapa adanya universiti yang memaksa pelajar menghadiri majlis-majlis tertentu yang tetamunya ialah orang besar Umno. Jika tidak, tindakan akan diambil. Di dalam kelas, pelajar pasca September 28, 1998 tidak berani lagi membuat sebarang ulasan yang bertentangan dengan dasar politik Umno atau kerajaan. Kalau celupar sangat, gred boleh melayang.

Begitu juga di kalangan pensyarah, ramai yang tidak berani bersuara walaupun sekadar dalam mesyuarat dengan Ketua Jabatan. Kalau banyak bercakap, nanti dilabelkan sebagai kaki pembangkang, dan gelaplah masa depan tanpa sebarang kenaikan pangkat.

Tulisan pelajar dan pensyarah juga tidak lebih dari suara lidah pengarang dalam akhbar arus perdana. Susah untuk kita berjumpa dengan tulisan pensyarah yang kritikal, terutamanya dalam mempersoalkan dasar-dasar negara yang bertentangan dengan kepentingan rakyat di negara ini.

Sebagai contoh, berapa ramaikah mereka yang bergelar 'professor' dalam bidang ekonomi yang berani bersuara secara terbuka mengenai kesan kenaikan harga minyak baru-baru ini? Saya tidak ternampak seorang pun dari puluhan atau ratusan professor dari IPTA yang berani bersuara mengenai kepentingan rakyat ini secara terbuka. Kalau adapun, mungkin sekadar dalam forum atau dialog tertutup.

Menurut Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin, Umno bercadang menjadikan universiti parti itu sebagai 'bertaraf antarabangsa'. Baguslah kalau begitu, kerana kita memang hampir tidak ada universiti yang bertaraf antarabangsa. Dalam ranking universiti di dunia, memang ada meletakkan beberapa IPTA utama negara ini seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, dan Universiti Teknologi Malaysia yang tersenarai sebagai universiti bertaraf dunia.

Namun, jika kita perincikan, kesemua universiti ini tidak mempunyai sebarang skor (atau mata) apabila faktor kajian (research) diambil kira. Begitu juga dengan pensyarah yang bertaraf sarjana, walaupun ramai yang berkelulusan PhD, tidak ramai yang bertaraf sarjana sehingga menjadi idaman calon-calon dari luar negara untuk berguru dengan pensyarah di sini.

Sebaliknya, pelajar dari seluruh dunia beriya-iya memohon ingin menyambung pengajian di peringkat 'Master' atau 'PhD' di universiti tertentu di luar negara kerana pensyarah yang benar-benar dipanggil sarjana ada di sana.

Memanglah secara hakikatnya universiti tempatan kini boleh berbangga dengan bilangan pelajar antarabangsa yang semakin bertambah. Namun, jika dilihat dengan lebih dekat, kebanyakan pelajar asing yang belajar di IPTA adalah dari negara dunia ketiga. Pelajar dari negara maju, kalau ada pun, boleh dibilang dengan jari.

Mereka yang pernah belajar di IPTA tentu arif dengan budaya bodek pelajar terhadap pensyarah. Bagi mereka yang arif dalam hal-hal ini (terutamanya pelajar dewasa yang mengikuti kursus pasca ijazah atau program jarak jauh), cara terbaik untuk mendapatkan A bukanlah dengan membuat tugasan dengan baik atau memberikan komen yang bernas di dalam kelas.

Yang penting, mereka mesti selalu mengajak pensyarah keluar makan bersama, memancing atau bermain golf bersama, ataupun membawa buah tangan untuk pensyarah. Tanpa Universiti Umno pun perkara seperti ini boleh subur mekar. Saya tidak dapat bayangkan bagaimanakah keadaannya kalau sebuah universiti itu ditubuhkan oleh sebuah parti yang penuh dengan budaya politik wang dan cantas mencantas.

Saya tidak dapat bayangkan siapakan yang bakal menjadi pelajar di Universiti Umno itu nanti? Adakah pelajarnya mesti dari kalangan Putera atau Puteri Umno sahaja? Atau anak orang Umno sahaja?

Bagaimana dengan pensyarahnya? Adakah mereka perlu menunjukkan keahlian Umno sebelum diterima sebagai pensyarah? Adakah Universiti Umno semata-mata untuk bumiputera sahaja? Bagaimana dengan soal meritokrasi yang diwar-warkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lama dulu?

Jika begini, mampukah Universiti Umno ini boleh menjadi universiti bertaraf antarabangsa; setaraf dengan Yale atau Stanford, John Hopkins atau Oxford?

ADS