Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengumuman kerajaan baru-baru ini yang meningkatkan kelayakan permohonan PR1MA sehingga RM15 ribu dan memendekkan moratorium kepada lima tahun adalah tindakan yang telah menyimpang dari sasaran PR1MA itu diwujudkan khusus kepada isi rumah sederhana dan bawah.

Kesan daripada tindakan ini akan mengakibatkan persaingan lebih tinggi yang tidak setara di antara kelas ekonomi dan tindakan memendekkan moratorium ini akhirnya akan membuka pintu kepada spekulasi serta tidak akan mengurangkan unsur spekulasi hartanah.

PR1MA jelas ditubuhkan bagi isi rumah berpendapatan sederhana (M40), kini dengan meningkatkan kelayakan sehingga RM15000 menunjukkan bahawa PR1MA tidak lagi buat golongan sasar (M40) tapi telah tersasar landasannya kepada kategori berpendapatan tinggi (T20) yang mana median pendapatan T20 adalah sehingga RM11,610.

Sehingga November 2016, permintaan berdaftar bagi rumah PR1MA bagi mereka berpendapatan sederhana telah mencecah 1,325,386 rakyat Malaysia, ini menunjukkan bahawa defisit penawaran rumah PR1MA terlalu tinggi.

Pelebaran kepada golongan yang berpendapatan lebih tinggi hanya akan meruncingkan situasi tersebut.

Jelas, pasaran perumahan Malaysia berada dalam keadaan yang defisit penawaran dan nilai hartanah yang dipandu oleh “fake demand” berbanding realiti ekonomi rakyat pada hari ini.

Justeru, Pemuda AMANAH menegaskan bahawa PR1MA yang dibina atas duit rakyat perlu dikembalikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan agar subsidi ini sampai kepada golongan sasar dan sejajar dengan pendapatan M40 dari aspek harga dan jumlah yang dibina.


MOHD AMMAR ATAN adalah Exco Pemuda AMANAH

Lihat Komen
ADS