Paling Popular
Terkini

Kuala Lumpur merupakan ibu negara Malaysia sejak hari pertama negara ini dimasyhurkan kemerdekaannya. Daripada bandar yang tersohor dengan lombong bijih timah kepada bandaraya moden 'lombong' kegiatan ekonomi negara.

Sepertimana ibu negara lainnya, Kuala Lumpur menjadi jendela pertama untuk masyarakat dunia mengenali dan menilai Malaysia. Lantas, persoalan etos bangsa Malaysia yang sepatutnya melatari dan diterjemahkan kepada acuan pembangunan bandaraya ini seharusnya dipandang penting dan diwacanakan seluasnya.

Namun, isu-isu yang sekian lama mengerumuni warga kota kosmopolitan ini seolahnya Kuala Lumpur tidak dibina di atas falsafah pembandaran yang jelas, atau mungkin ia dibina atas falsafah yang jelas mengelirukan.

Pertentangan berterusan (tanpa keseimbangan yang menguntungkan rakyat dan negara) antara perkembangan ekonomi dan pemuliharaan tradisi; antara kepentingan warga berada dan warga miskin kota; antara kepesatan pembangunan dan penjagaan alam sekitar, sepertinya memberitahu kita bahawa Kuala Lumpur yang membangun pesat ini sememangnya sedang menuju ke depan tanpa panduan.

Isu Kampung Baru menjadi contoh kukuh bahawa tradisi tiada tempat di kota raya ini. Harga rumah yang menggila dan projek perumahan mewah yang bertaburan menjadi bukti bahawa kota raya ini sedang secara sistematik cuba menyingkirkan warganya yang sederhana dan miskin ekonomi. Bandaraya ini bandaraya moden dan eksklusif. Tiada tempat untuk noltalgia tradisi dan masyarakat rendah sosio-ekonomi.

Tambah menyesakkan, Kuala Lumpur yang seharusnya menjadi lokasi ideal demokrasi diperkukuh dan disuburkan, dikuasai penguasa dan pentadbir yang tidak demokratik.

Polisi kecil dan besar dibuat hanya melalui ilham para pemimpin elitis, seolahnya mereka tahu segala. Contoh sempurna sindrom masyarakat lambak (mass-man syndrome) dan pemimpin jadong (jahat, bodoh dan sombong) yang disebut Ortega S. Gasset dan Syed Hussein Al Attas.

Demokrasi partisipatif tiada tempat di kota raya ini, sepertimana ia tidak pernah hidup di mana-mana tempat di Malaysia. Rakyat jarang sekali dilibatkan dalam penentuan polisi bahkan pakar-pakar di universiti juga dilayan seperti mereka kurang arif berbanding pak menteri. Isu larangan kapcai masuk bandar dan kenaikan harga parking merupakan antara contoh semasa polisi dan regulasi yang tidak mengambil kira suara rakyat.

Bangunan-bangunan tinggi mencakar langit terus dibina tiada henti, sedangkan bangunan sedia ada, masih diguna di bawah kapasiti optimum (underutilized). Sementara rumah yang benar-benar mampu milik tidak serius dirancang dan dibina.

Kecenderungan monumentalisme ini telah dan sedang memangsakan rakyat kelas menengah dan bawah.

Biasanya setelah dilondehkan kelemahan pemerintah, parti politik pembangkang akan menyeru rakyat untuk menyokong mereka sebagai jalan satu-satunya untuk melakukan perubahan.

Tapi sempena Hari Wilayah 2017 ini, saya mahu mengajak warga kota, rentas kelas sosio-ekonomi, untuk sama-sama menguatkan ikatan dan komuniti masyarakat sivil di kotaraya Kuala Lumpur ini kerana hanya dengan kesepaduan itu, suara kita akan bergema lebih kuat di bangunan parlimen, pejabat-pejabat pak menteri dan pengarah bandaraya hingga polisi atau regulasi yang bakal dibuat nanti adalah yang benar-benar berpusatkan kepentingan rakyat dan negara.

Bahkan lebih daripada itu, masyarakat sivil yang kuat akan berhasil memulakan gerakan besar memaknakan semula pembandaran ibu kota Malaysia ini.

Selamat Hari Wilayah 2017.


NIK ABDUL RAZAK NIK MD RIDZUAN Ketua Pemuda AMANAH Wilayah.

Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS