Datuk Hishammuddin Tun Hussein Onn,
Ketua Pemuda Umno
Datuk, saya secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Datuk serta rakan sekerja dalam memartabatkan perjuangan parti. Justeru, bagi mengangkat Umno di peringkat akar umbi, tidak dapat tidak, Putera Umno (PU) harus dijadikan kelab di semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.
Jikalau Kelab Umno wujud di luar negeri, kenapa tiada Kelab PU ditubuhkan di universiti tempatan? Sehubungan dengan pelancaran PU baru-baru ini, maka saya syorkan beberapa perkara di bawah untuk dipertimbangkan jawatankuasa tertinggi Pemuda Umno Pusat.
1. Untuk memastikan pelajar disatukan di bawah Kelab PU, maka pertubuhan Wawasan Aspirasi, Revo, Sahabah atau mana-mana pertubuhan universiti lain (sah atau tidak), haruslah dibubarkan serta-merta dan ahli/pendokong pertubuhan itu disarankan menyertai Kelab PU secara sah.
2. Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1975 Seksyen 15 (1), (2) dan seterusnya melarang pelajar menjadi ahli parti politik atau mana-mana persatuan melainkan dengan keizinan Naib Canselor (NC). Dalam hal ini, yang dibimbangi, ada pentadbir universiti yang tidak serasi terhadap Umno. Perkembangan mutakhir media menunjukkan konflik pihak pentadbir universiti dengan Umno memang ketara dan mungkin berterusan. Oleh itu, suatu usaha terancang perlu dilakukan untuk meminda atau mansuhkan Seksyen 15 (1), (2) dan lain-lain yang berkaitan dengannya bagi membataskan kuasa mereka dan timbalan mereka dalam hal ini.
3. Kementerian Pengajian Tinggi memanggil mesyuarat untuk menghimpun pandangan pentadbir universiti mengenai keputusan untuk mengekalkan/memansuhkan Seksyen 15 (1), (2) dan lain-lain yang relevan dengan penubuhan Kelab PU.
4. Teras perjuangan utama Putera Umno ialah membanteras rasuah dan penyelewengan, selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk membebaskan negara, jabatan kerajaan, termasuk badan berkanun seperti universiti dari amalan rasuah dan penyelewengan. Media umpamanya melaporkan isu perlantikan para pegawai tinggi universiti melalui kaedah yang luar biasa dan tidak mengikut prosedur biasa. Hal ini sewajarnya menjadi satu gerak kerja atau latihan ilmiah kepada Kelab PU.
5. Segala pandangan di atas adalah cadangan awal yang mungkin boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. Maklum balas daripada pihak tuan mengenai hal ini, saya dahului dengan ucapan jutaan terima kasih.
Sekian. Wassalam.
