Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekitar 50 tahun lalu sebelum Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan melancarkan Kempen Budi Bahasa kempen ini telah pun dilakonkan secara tersirat di Studio Jalan Ampas. Baru-baru ini (5 Jun lalu), melalui filem Seniman Bujang Lapok (TV2) di mana kita dapat melihat watak-watak yang menggunakan bahasa Melayu yang kasar.

Dan pada hari ini, pengucapan bahasa Melayu yang kasar ini dapat ditonton dalam program seperti Malaysian Idol , American Idol dan lain-lainnya. Mungkin bezanya, percakapan panel penilai vokal pesertanya sudah bercampur-baur dengan bahasa Inggeris, maka penonton tidak hiraukan sangat aspek tutur kata serta budi bahasa.

Peserta yang terkeluar dari senarai pilihan, akan merungut marah-marah, lalu mencemuh panel penilai mereka. Adakah masalah pengangguran dan peluang pekerjaan lain terlalu sempit, yang mendorong anak-anak muda ini untuk menceburi dunia seni lakon? Apakah mereka mahu mencari publisiti ataupun menjadikan landasan mudah dan singkat untuk mencari kesenangan hidup?

Jadi, apabila tersingkir semasa uji bakat, maka mereka mula mengucapkan bahasa yang kasar? Kalau begitu, memang sukar untuk menerapkan nilai budi bahasa dalam masyarakat kita. Tetapi, kalau kita tidak mendebatkannya secara lebih dalam, mampuah kita mencari penawar untuk merawat 'luka' percakapan kasar oleh bangsa Melayu pada hari ini?

Sesekali, kita tentu terfikir, mengapa agaknya istilah 'budi' dikembarkan dengan 'bahasa'. Kesimpulan awalnya ialah orang yang berakhlak dan bermoral tinggi ialah mereka yang cerdik menggunakan bahasanya.

Rasulullah s.a.w mengingatkan umatnya tentang bahaya lidah. Misalnya, seorang wanita menemui baginda lalu berkata,"Ya Rasulullah, jiranku sangat warak. Malamnya diisi dengan tahajud, siangnya dia berpuasa. Tapi, aku tidak pernah merasa aman daripada lidahnya." Sabda Rasulullah s.a.w, "Ketahuilah, bahawa dialah penghuni neraka."

Mengapa manusia hilang budi bahasa? Mungkin kerana tekanan hidup atau hilang pegangan. Ada manusia yang hidup dan membesar di kelilingi persekitaran yang menyebabkan mereka terdorong menggunakan bahasa kasar. Misalnya, perbuatan abang dan kakak yang selalu mengherdik adik, lama-kelamaan menjadi ikutan pula.

Islam dan Melayu telah menawarkan kaedah merawat masalah ini supaya kita berbahasa dengan baik dan halus. Dalam alam Melayu, para hulubalang berpantun terlebih dahulu sebelum bertarung. Itulah yang membezakan antara hulubalang yang berkeris dan berpantun, dengan haiwan yang berkuku dan saling bercakaran.

Jika begitu, ada baiknya kita hidupkan semula amalan ini, selaras dengan saranan Usman Awang dalam sajaknya, "Melayu", iaitu " berkelahilah cara Melayu, menikam dengan pantun ,". Tambahan pula, slogan kempen budi bahasa juga diambil daripada pantun oleh Buya Hamka; "Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi, rumah binasa ".

Tidak salah jika Melayu zaman ini mencipta pantun dan peribahasa baru. Semoga ia menjadi khazanah masa depan. Ada peribahasa baru yang terkenal dalam pendidikan; "Study biar lepak, result biar gempak".

Namun, ia tidak kuat untuk mengangkat falsafah pemikiran bangsa. Selain bahasa rojak, ia juga menawarkan makna; belajarlah bersantai, tetapi ujian peperiksaan mestilah tinggi. Apakah sebenarnya yang ingin dipersembahkan?

Kemudian, kita boleh juga berpantun dengan menceduk sedikit pantun lama yang disulami dengan peristilahan baru; "Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong bolehkah jadi menteri?". Kemudiannya, lawan berbicara bolehlah juga menjawab begini, "Ketuka cencaru toman ikan keli, suka merapu, teman saman nanti!". Dan konflik itu tamatlah dalam majlis keraian.

Kita boleh juga mencipta peribahasa supaya mengelakkan konflik daripada berpanjangan. Umpamanya, "Berpantun-pantun dulu, bertikam lidah kemudian, berdebat-debat dulu, pecatlah jawatannya kemudian". Inilah yang terbaik dari memanjangkan pertikaian bangsa Melayu di media. Lebih baik memutar kata-kata daripada memutarkan akta-akta!

ADS