Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Tuntutan 31 NGO sempena Hari Wanita
Diterbitkan:  Mar 8, 2017 3:47 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Setiap tahun, hari wanita disambut di seluruh dunia mengenang peranan penting yang dimainkan oleh kaum wanita. Bagaimana pun, kami amat terkilan kerana isu-isu yang diperjuangkan oleh kaum wanita 100 tahun yang lalu pada tahun 1917 di Russia menuntut ‘makanan dan keamanan’ masih dialami oleh kaum wanita pada tahun 2017 ini.

Perjuangan wanita Russia pada 8 Mac 1917 telah menjadi pencetus perjuangan yang telah menjatuhkan pemerintah Tsar Russia yang kejam pada ketika itu. Perjuangan untuk keperluan asas untuk hidup masih relevan sekarang di mana majoriti wanita golongan pekerja berpendapatan rendah, ibu tunggal dan kaum ibu miskin kota menghadapi kesukaran setiap hari menampung kos hidup yang semakin meningkat.

Pada hari yang penting ini, kita mengenang perjuangan pemimpin wanita kelas pekerja dan marhaen yang telah berkorban demi memperjuangkan nasib rakyat tertindas.

Maka, kami amat tidak berpuashati apabila bajet Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tahun 2017 dipotong dari RM1.87 billion ke RM1.75 billion. Adakah ini bermaksud bahawa potongan RM 120 juta akan digunakan untuk perbelanjaan yang lebih penting daripada membantu wanita kelas pekerja, ibu tunggal, miskin kota, tanggungan mereka yang perlu ke sekolah dan penerima bantuan JKM ?

Mengikut statistik kementerian, seramai 61,600 ibu tunggal telah menerima bantuan sebanyak RM151 juta pada tahun 2014. Tetapi dalam satu jawapan di parlimen, kementerian melaporkan terdapat seramai 830,000 ibu tunggal yang didaftarkan di Malaysia.

Maka jika dianggarkan bahawa 40 peratus daripada 830,000 ibu tunggal tersebut berpendapatan rendah, justeru itu bantuan kepada golongan ini haruslah kepada seramai 270,400 bukannya hanya 61,600!

Kerajaan harus menilai semula keutamaanya memperuntukkan bajet negara, dan KPWKM harus diperuntukan bajet yang lebih tinggi selaras dengan hasrat ‘negara berkebajikan dan mengutamakan rakyat!

Kaum ibu tunggal yang berpendapatan rendah merupakan kumpulan yang paling menderita oleh kerana definisi paras garis kemiskinan, yang hanya akan menyediakan bantuan jika mereka berpendapatan RM1000 dan kebawah.

Menetapkan kelayakan bantuan JKM pada RM1000 adalah amat kejam dan tidak mengambarkan situasi ekonomi dan sosial masa kini.

Ia perlu dinaikkan kepada RM1,500 dengan segera. (Khazanah Nasional mengatakan pendapatan isi rumah median pada tahun 2014 ialah RM4,585. Kebanyakan negara membangun mengukur paras kemiskinan sebagai 60 peratus daripada pendapatan isi rumah median, maksudnya – RM 2,751). Maka masih berpegang kepada PGK RM1000 adalah amat tidak relevan!

Kami menuntut tindakan proaktif mengkaji semula klasifikasi “ibu tunggal” agar ia diperluaskan kepada kaum ibu yang suaminya seorang banduan yang masih dalam tahanan penjara, lebih penting jika ibu tersebut mempunyai anak-anak di bawah umur 18 tahun.

Apabila suami mereka yang merupakan sumber tunggal pendapatan isi rumah ditahan dan dipenjarakan, maka keseluruhan keluarga tersebut terpaksa menderita.

Pihak kerajaan asyik cuba menonjolkan penampilan kejayaan wanita di bidang korporat dan pentadbiran kerajaan sebagai contoh kejayaan wanita kerana usaha-usaha kerajaan.

Tetapi kesengsaraan hidup majoriti kaum wanita yang hidup sebagai pekerja biasa berpendapatan rendah, ibu tunggal dan miskin kota sering diabaikan dengan gambaran yang ditonjolkan kepada media bahawa wanita di Malaysia sudah mencapai kejayaan dan tidak menderita lagi.

Tahun 2017 ini merupakan ulang tahun ke-100 sambutan Hari Wanita Sedunia sejak 8 Mac 1917, tetapi malangnya kaum wanita Malaysia masih bergelut dengan masalah sistem patriaki , ketidaksaksamaan antara gender, diskirimimasi dan keganasan atas wanita.

Justeru itu, kami organisasi yang telah menurunkan tandatangan di bawah ini menyeru kepada kerajaan agar:

1. Tambahkan bajet yang diperuntukkan kepada KPWKM, dua kali ganda kerana KPWKM mempunyai tanggungjawab yang cukup luas untuk menjaga kebajikan wanita terutamanya wanita daripada golongan berpendapatan rendah.

2. Tingkatkan paras garis kemiskinan kepada RM1500 dan pastikan perubahan kos hidup dipantau serta penyelarasan dibuat dari masa ke semasa.

3. Tubuhkan rumah asuhan kanak-kanak di semua kawasan perumahan kos rendah, demi memudahkan kaum ibu meninggalkan anak mereka untuk dijaga apabila mereka bekerja.

4. Olah skop makna ‘ibu tunggal’ merangkumi para ibu yang mempunyai suami yang dalam tahanan dan menjalani hukuman penjara, agar ibu dan keluarga mereka yang mempunyai anak dibawah 18 tahun layak mendapat bantuan kebajikan.

5. Lancarkan skim perumahan RKR dengan rebat khas kepada para ibu tunggal berpendapatan rendah yang dapat dibeli dengan bayaran sewa beli yang mudah.

6. Permohonan bantuan oleh ibu tunggal yang ditolak harus diperiksa semula agar skim baru yang boleh membantu mereka diperkenalkan.

7. KPWKM merujuk semula kepada memorandum yang telah dikemukakan oleh Jaringan Rakan Ibu Tunggal pada tahun 2015 dan pihak kementerian harus mengambil langkah untuk melaksanakan cadangan-cadangan tersebut. Cabaran terhadap wanita kelas pekerja amatlah banyak dan harus diberikan perhatian serius oleh KPWKM.


Kenyataan bersama ini ditandatangani oleh organisasi seperti berikut:

1. Parti Sosialis Malaysia
2. Community Development Centre, Kajang (CDC)
3. Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
4. PACOS trust
5. Persatuan Wanita Selangor
6. Women's Centre for Change (Penang)
7. Inter-Research And Studies (IRAS)
8. Aliran
9. Monitoring Sustainability of Globalisation (MSN)
10. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
11. National Union of Flight Attendants Malaysia (Nufam)
12. Projek Dialog
13. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
14. Research for Social Advancement Relevant Facts, Sparkling Analysis (REFSA)
15. In Between Cultura
16. Pusat KOMAS
17. Diversity 異樣
18. Persatuan Kebajikan Arutperunjothi Margam
19. HINDRAF
20. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
21. The North South Initiative
22. Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia
23. Sisters in Islam
24. Women's Sport & Fitness Foundation Malaysia (WSFFM)
25. National Human Rights Society (HAKAM)
26. All Women's Action Society (AWAM)
27. Seksualiti Merdeka
28. Justice for Sisters
29. The Kuala Lumpur And Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)
30. TBH Trust for Democracy
31. Parti Rakyat Malaysia

 

Lihat Komen
ADS