Merujuk kepada rencana Zulkifli Jalil bertajuk Sothinathan terlupa konsep BN , saya mempunyai sedikit pendapat untuk dikongsi bersama.
Adalah amat patut bagi kerajaan untuk mengkaji pengiktirafan kepada mana-mana institusi pengajian tinggi supaya kualiti graduan negara kita sentiasa dapat dijamin. Apatah lagi tentang soal perubatan yang berkaitan dengan hidup mati dan kesihatan rakyat, terutamanya bagi institusi pengajian tinggi luar negara yang jauh dari pemerhatian rakyat.
Maka, tidak was-was lagi, tindakan tarik balik pengiktirafan perlu diambil, sekiranya ada bukti kukuh yang menunjukkan mutu pengajaran dan pembelajaran di sesuatu institusi pengajian tertentu tidak memuaskan.
Tiada apa-apa yang perlu dikritikkan berhubung tindakan kerajaan terhadap Universiti Perubatan Crimea State Medical University (CSMU) sekiranya kajian secukupnya telah dilakukan untuk mengenalpasti mutu pengajaran dan pembelajaran di universiti berkenaan.
Tujuan saya menulis surat ini bukan untuk membincang mengenai tindakan kerajaan dalam hal ini. Ia juga bukan untuk membincangkan motif Datuk S Sothinathan melakukan perkara ini. Yang ingin diluahkan ialah kebimbangan apabila melihat pendekatan yang diambil oleh Barisan Nasional demi 'menjaga disiplin' mereka dalam pakatan tersebut.
Datuk Sothinathan digantung jawatan sebagai Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli selama tiga bulan kerana mengkritik kerajaan dalam menangani isu penarikan balik pengiktirafan ijazah perubatan CSMU di Dewan Rakyat.
Hukuman berat ini dikenakan ke atas seorang wakil rakyat, semasa beliau cuba membela hak dan kepentingan sebahagian golongan rakyat yang menyokongnya sehingga beliau boleh berdiri di dalam Dewan Rakyat. Ini adalah tanggungjawab minimal bagi seorang 'wakil rakyat'. Jika bukan mewakili kepentingan rakyat, apa lagi yang harus seorang 'wakil rakyat' wakili?
Hukuman ke atas Datuk Sothinathan dikenakan atas alasan menentang kerajaan. Datuk Sothinathan disifatkan oleh Saudara Zulkifli 'terlupa konsep BN'. Ertinya Datuk Sothinathan tidak mengikut pendekatan 'musyawarah dan tolak ansur BN'dalam menangani hal tersebut.
Persoalannya di sini ialah jika Dewan Rakyat bukan tempat untuk berbincang dan berbahas tentang isu-isu berkaitan rakyat, di mana lagi? Saya keliru dengan cara pucuk pimpinan BN dalam 'menjaga disiplin' dalam BN.
Yang lebih membimbangkan ialah tindakan 'membisukan' wakil rakyat ini telah dibukukan sebagai peraturan hitam putih yang dikenali sebagai Kod Etika Bagi Ahli Parlimen Kerajaan, untuk menjaminkan mereka tidak menentang dasar dan keputusan kerajaan BN tanpa mengira baik buruknya terhadap rakyat.
Saudara Zulkifli juga menjelaskan bahawa "kod etika berkenaan akan mengingatkan wakil rakyat kerajaan supaya mereka tidak melakukan sesuatu yang tidak diingini yang akan mencemarkan kedudukan mereka sebagai ahli Parlimen."
Saya tidak memahami logik saudara Zulkifli yang menyatakan membela keuntungan rakyat dalam Parlimen akan menjejaskan kedudukan mereka sebagai ahli Parlimen. Bukankah inilah yang membuktikan mereka merupakan wakil rakyat yang bertanggungjawab dan berlayak untuk dipilih lagi oleh rakyat?
Maksud Saudara Zulkifli nyata memberitahu rakyat bahawa seorang wakil rakyat harus bersikap mementingkan diri sendiri dan mengabaikan tanggungjawabnya untuk membela kepentingan rakyat. Ini adalah salah faham Saudara Zulkifli terhadap kod tersebut ataupun memang pun kod tersebut mempunyai tujuan sebegitu rupa?
Realitinya, Datuk Sothinathan telah dianggap sebagai hero bagi rakyat berketurunan India kerana mempertahankan hak rakyat di Parlimen. Kedudukan beliau sebagai ahli Parlimen tidak akan terjejas. Tetapi sebaliknya beliau digantung jawatan timbalan menteri oleh pucuk pimpinan BN.
