Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Inisiatif JAKESS mampu selesaikan kes cerai dalam 6 jam

Usaha dan penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dipuji kerana ia banyak mambantu para pelanggan yang berurusan di Mahkamah Syariah Selangor terutamanya kaum wanita dalam mendapatkan hak-hak mereka selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam situasi seorang wanita bergelar isteri mahupun ibu yang terpaksa mengharungi liku-liku hidup yang getir sebelum berlakunya penceraian, prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang dalam menguruskan penceraian boleh menjadi sangat membebankan, lebih-lebih lagi jika wanita tersebut tidak mempunyai sebarang latar belakang dalam bidang undang-undang.

Namun begitu, banyak program inovasi dan inisiatif yang diambil di Negeri Selangor kini memberi impak yang besar kepada sistem perundangan dan kehakiman Syariah bukan sahaja di Negeri ini, malah di Malaysia.

Ia sekaligus dilihat banyak membantu pihak yang berurusan dengan mahkamah Syariah terutamanya kaum wanita dalam mendapatkan hak mereka seperti hak untuk membubarkan perkahwinan, tuntutan nafkah, tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak dan sebagainya.

Secara tidak langsung ia juga telah memelihara wanita daripada aspek keselamatan, emosi dan kewangan.

Antara program yang dilaksanakan ialah kejayaan JAKESS dalam memperkenalkan proses kerja ‘fast track’ bagi kes permohonan cerai oleh pasangan yang telah mencapai persetujuan untuk bercerai.

Melalui proses kerja tersebut, JAKESS hanya memerlukan kurang enam jam bagi menyelesaikan kes mereka sehingga perintah bertulis dikeluarkan berbanding proses kerja lama yang mengambil masa berbulan-bulan.

Selain menjimatkan masa berurusan di Mahkamah, ia juga dapat membantu terutamanya kaum wanita yang tinggal berjauhan tanpa perlu berulang-alik, sama ada dengan memandu sendiri, menggunakan perkhidmatan awam atau mengharapkan bantuan orang lain.

Pihak yang terlibat juga serta tidak perlu mendapatkan cuti dengan kerap daripada majikan semata-mata untuk menyelesaikan kes penceraian mereka di mahkamah.

Seterusnya, JAKESS juga telah berjaya memperkasakan proses kerja penceraian melalui Hakam atau timbang tara.

Hakam merupakan pihak yang dilantik oleh Mahkamah bagi pihak suami dan bagi pihak isteri dengan tujuan sama ada untuk mendamaikan pasangan suami isteri tersebut (jika perkahwinan tersebut masih boleh diselamatkan) atau untuk membubarkan perkahwinan antara pasangan suami isteri tersebut (jika perkahwinan tersebut sudah tidak boleh diselamatkan) setelah mahkamah membuat sabitan bahawa telah berlaku perbalahan yang berpanjangan (shiqaq) antara suami isteri tersebut.

Dengan adanya kaedah ini, kes-kes tuntutan cerai yang gagal mendapatkan persetujuan daripada salah satu pihak dalam perkahwinan akan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh sabitan shiqaq oleh mahkamah.

Penceraian melalui Hakam ini adalah merupakan satu alternatif yang ada bagi wanita yang ingin menamatkan perkahwinan mereka atas sebab telah berlakunya shiqaq dan hilangnya “mawaddah wa rahmah” dalam perkahwinan yang dibina tanpa perlu menfailkan kes cerai fasakh atau ta’liq yang pastinya mempunyai proses kerja dan tempoh masa yang lebih panjang untuk diselesaikan.

Secara tidak langsung, Kaedah Hakam ini akan dapat menyelamatkan wanita daripada ‘digantung tak bertali’ kerana gagal mendapatkan penceraian dari mahkamah sedangkan perkahwinan yang dibina lebih banyak membawa kemudaratan dan sudah tidak boleh dipertahankan.

Selain itu, JAKESS turut memperkenalkan Rumah Transit Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bagi membantu penyediaan kemudahan penginapan kepada mereka yang mempunyai urusan di mahkamah Syariah Selangor tetapi tinggal jauh dari lokasi mahkamah dan mempunyai masalah dari segi kewangan untuk tinggal atau menyewa di hotel.

Hanya di Selangor, bagi mempercepatkan perjalanan kes dan mengurangkan bilangan kes tertunggak, JAKESS turut mengambil inisiatif mengadakan sesi perbicaraan pada sebelah malam atau yang dikenali sebagai “Night Court” bagi membantu pihak-pihak yang sukar untuk menghadiri prosiding di mahkamah pada waktu siang.

Malah JAKESS turut memberanikan diri menerokai bidang inovasi dalam aspek teknikal melalui projek “Mobile Court Kit (MCK)” atau Kit Mahkamah Bergerak.

MCK merupakan satu bentuk peralatan yang dicipta sebagai kemudahan atau fungsi mahkamah bergerak yang sangat praktikal untuk dibawa ke mana-mana bagi membolehkan prosiding mahkamah dilakukan di luar bangunan mahkamah seperti di perkampungan orang asli, hospital atau rumah mana-mana pihak yang tidak dapat hadir atas sebab terlantar sakit atau cacat anggota yang menghalang mereka daripada hadir ke mahkamah.

Perubahan yang diketengahkan Ketua Hakim Syarie Selangor, YAA Prof. Adjung Dato’ Dr. Mohd Na’im Bin Mokhtar hari ini memperlihatkan perkembangan positif dalam institusi kehakiman Syariah dan ia nyata telah memberi banyak kemudahan; sekali gus memberi keadilan kepada semua pihak melalui jaminan perkhidmatan yang terbaik, cepat, efektif dan efisien.

Oleh yang demikian, wanita-wanita di negeri ini tidak perlu merasa berat hati untuk hadir ke sana bagi menyelesaikan urusan yang melibatkan hukum dan undang-undang ini malah boleh meletakkan kepercayaan dan keyakinan mereka dalam menjaga hak dan kebajikan para wanita dan keluarga.

Institusi ini juga merupakan tempat rujukan untuk mendapatkan khidmat nasihat dan menyelesaikan masalah rumahtangga serta menyelamatkan umat Islam daripada perpecahan dan keruntuhan rumah tangga.

Bersempena dengan Sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut pada tanggal 8 Mac lalu,
Kerajaan Negeri Selangor dengan tema #BeBoldForChange akan terus mengangkat agenda pemberdayaan wanita demi kesejahteraan sejagat, mendukung peranan wanita sebagai agen perubahan dan meraikan sumbangan, peranan dan pencapaian kaum wanita di negeri ini.


DR DAROYAH BINTI ALWI adalah Exco Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor.

Lihat Komen
ADS