Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Parti Bebas Rasuah (PBR) memandang berat polemik RUU355 yang tidak berkesudahan dan berpanjangan.

Kami menghormati hak PAS sebagai sebuah parti yang diwakili dalam Parlimen untuk membawa usul yang difikirkan perlu.

Dalam masa yang sama kami ingin mengingatkan PAS agar memahami realiti politik hari ini apabila negara diperintah oleh kerajaan desperado yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup skandal rasuah, kecurian wang negara dan salah guna kuasa.

Apa yang berlaku beberapa hari lalu di parlimen dan sebelumnya dalam mesyuarat BN jelas memperlihatkan bagaimana usul RUU ini dipergunakan untuk kepentingan politik dan memperlihatkan sikap Perdana Menteri Najib Razak yang amat tidak bertanggungjawab.

Sepatutnya pindaan RUU seperti ini dikendalikan sendiri oleh kerajaan kerana ia bersifat agama dan berpotensi mewujudkan persepsi yang tidak menguntungkan umat dan Islam itu sendiri apabila kita dilihat berpecah belah dalam isu asas.

Yang pastinya umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia umumnya terus ditipu dan dialihkan daripada persoalan yang menuntut jawapan dan penyelesaian demi menyelamatkan rakyat yang semakin melarat hidupnya.

Sidang parlimen lalu seharusnya menjadi medan persoalan dibangkitkan dan jawapan diberikan oleh kerajaan mengapa individu yang telah dinamakan dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebagai pesalah dan bertanggungjawab dalam skandal 1MDB tidak langsung disiasat sehingga ke hari ini?

Serata dunia siasatan dan dalam beberapa kes hukuman telah dilakukan tetapi di Malaysia laporan yang dibuat oleh Parlimen Malaysia sendiri tidak dipedulikan.Tentunya ia memberi kesan kepada maruah dan keyakinan dunia kepada negara dan ekonomi negara.

Ia boleh berlaku kerana PM ini seorang desperado dan tidak bertanggungjawab. Bukan sahaja laporan PAC tidak diendahkan, peguam negara diganti tergesa-gesa. Pegawai-pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara yang terlibat kes 1MDB dan SRC ditukar.

Apakah semua ini belum lagi memahamkan kita bahawa kita mempunyai seorang PM yang dikaitkan dengan dengan rasuah.

Sikap tidak bertanggungjawab juga adalah dosa besar dalam etika kepimpinan. Episod RUU355 ini juga memperlihatkan bagaimana sekali lagi Najib menunjukkan sikap tidak bertanggungjawabnya walaupun dalam isu agama.

Sebagai parti yang fokus kepada isu rasuah, kami ingin ingatkan bahawa isu rasuah dan pertanggungjawaban adalah juga isu utama. Dalam Islam sendiri banyak peringatan betapa beratnya isu rasuah ini. Antaranya dalam Perang Khaybar, Rasullulah enggan bersama sembahyangkan jenazah seorang sahabat yang mencuri harta negara yang hanya bernilai 2 dirham. Hari ini kita ada pemimpin yang seluruh dunia tahu mencuri berbilion duit rakyat dan negara.

Kami menggesa Najib meletakkan jawatannya serta merta kerana semakin lama beliau menjadi PM, semakin banyak kerosakan yang dilakukan, seperti episod RUU355 ini.


EZAM MOHD NOR pemimpin parti Bebas Rasuah.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS