MB turun parlimen: Usaha yang dicemburui

       

Hari ini, seperti biasa, sekali lagi tular tuduhan tidak berasas oleh pemimpin Melayu DAP, Mahadzir Ibrahim yang merupakan pengarah biro pendidikan politik DAP melalui artikel "MB Johor dan gimik-gimiknya" yang disiarkan oleh Malaysiakini.

Apabila meneliti setiap serangan dan tuduhan beliau kita dapat membuat beberapa kesimpulan.

Pertama DAP Johor seakan sudah kekontangan modal politik sehinggakan setiap aktiviti dan program kerajaan negeri Johor khususnya oleh YAB menteri besar akan dipolitikkan.

Lebih-lebih lagi apabila wujudnya maklum balas yang positif dari pihak rakyat atau media massa.

Mana mungkin pembangkang tidak panas telinga jika pujian diberikan kepada pihak kerajaan dan menteri besar.

Kedua, tuduhan liar seperti ini akan segera timbul setiap kali terdedahnya isu-isu besar yang melibatkan individu-individu DAP atau PKR.

Ketika PKR bergelut untuk membela Adam Rosly, DAP pula terpaksa mempertahankan skandal dan gaya hidup 'bebas' dan dakwaan skandal panas melibatkan Zairil Khir Johari-Dyana Sofya Mohd Daud.

Jadi penyelesaian mudahnya? Serang pihak kerajaan dan menteri besar. Setidak-tidaknya ia akan melarikan perhatian masyarakat umum kepada salah laku dan gaya hidup anggota-angota DAP dan PKR yang mengundang pelbagai kemarahan rakyat.

Maka mitigasi terbaik DAP adalah, seperti biasa, memperkuda dan mempergunakan Melayu DAP seperti Mahadzir Ibrahim untuk menyerang MB Johor.

Yang menariknya kali ini, serangan tersebut berkisar kepada program MB Turun Parlimen, iaitu program berjadual cetusan idea beliau untuk menyantuni rakyat seluruh di negeri Johor.

Dalam bahasa mudahnya, DAP menyerang menteri besar Johor kerana turun padang ke setiap Parlimen di seluruh negeri Johor!

Kita tidak pasti sama ada mahu berasa geli hati atau marah dengan serangan tersebut. Ia menunjukkan yang DAP tidak gemar dan tidak senang jika pemimpin tertinggi dalam jentera kerajaan negeri turun ke setiap satu parlimen di Johor.

Baik, maka atas dasar prinsip dan hak, suara sumbang seperti Mahadzir masih perlu dijawab agar muafakat dan perpaduan Johor ini tidak dirosakkan oleh rasa prejudis yang disemai oleh "parasit" seperti beliau.

Pertama, ini adalah cara kerja dan dasar Khaled yang 'hands on'. Jika diteliti, rata-ratanya pengisian program MB Turun Parlimen berkisar tentang pengumuman, pemantauan serta penyeliaan tahap kemajuan bagi pelbagai inisiatif yang diumumkan dalam Bajet 2017 (yang diterima dan dipuji sendiri oleh ketua DAP Johor dalam Sidang Dewan Undangan Negeri).

Kedua, dasar Khaled banyak melibatkan pengupayaan dan pemerkasaan PBT dan agensi-agensi kerajaan. Jadi, bagi memastikan keberkesanan pendekatan ini, Khaled dan pasukannya memilih untuk melawat dan melihat sendiri semua pihak yang sedang menjalani proses pemerkasaan ini.

Ketiga, dalam semua lawatan Khaled di Parlimen, antara slot yang dimuatkan adalah ruang untuk rakyat jelata berjumpa dan berkongsi secara terus masalah dan isu yang mereka hadapi.

Perkara ini adalah salah satu daripada pelaksanaan komitmen Khaled yang mahukan sebuah kerajaan negeri yang lebih terbuka, demokratik dan inklusif.

Keempat, dalam semua siri lawatan Khaled ke Parlimen ini, banyak sekali pengamal media dan pihak luar yang dilibatkan. Malah media pembangkang sendiri tidak pernah dihalang untuk turut serta.

Jadi, pembangkang atau sesiapa sahaja boleh mengikut secara terus dan terbuka apakah perkara yang dilakukan semasa lawatan tersebut.

Ia bukan sahaja meningkatkan kadar ketersampaian maklumat, malah merupakan cara Khaled meningkatkan ketelusan dalam setiap program yang dijayakannya.

Kesimpulannya, jelas Mahadzir tidak senang melihat setiap penambahbaikkan dan usaha radikal yang dilakukan oleh kepimpinan negeri dalam usaha memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.

Bagi individu seperti Mahadzir, PBT yang terbaik ialah PBT yang dapat menghasilkan lebih ramai individu "fast track" yang kaya seperti Adam Rosly.

DAP tidak layak bercerita soal PRU-14. Mereka bukan sahaja hanya muncul secara bermusim, tetapi sering lari daripada tanggungjawab.

Lihat sahaja ketika Kulai dilanda ribut teruk tempoh hari, di mana ahli parlimen DAP Kulai? Hilang tanpa berita meninggalkan tanggungjawab kawasan dan akhirnya pihak lain menggalas tanggungjawab ini tanpa mengira kawasan dan fahaman politik.

Ini politik matang yang diamalkan kerajaan negeri Johor. Definisi tanggungjawab bagi parti seperti

DAP ialah ibarat layanan touch & go. Bila perlu, "touch", sudah puas, "go".

Semoga niat dan impian kita menuju ke arah Johor Berkemajuan sentiasa dipermudahkan. Kepada Allah kami berserah.


FIKRI ALLAUDIN Gerakan Pemikir Muda Barisan Rakyat.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda