Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bersempena sambutan Hari Ibu, Pemuda AMANAH Nasional merakamkan ucapan tahniah atas kesungguhan dan pengorbanan warga ibu dalam mendidik serta mencorakkan masa depan anak-anak.

Firman Allah SWT dalam ayat 14 surah Luqman (bermaksud): “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibubapamu, dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Sambutan ini memberi ruang dan peluang untuk kita meluangkan masa sejenak dalam kesibukan rutin tidak berkesudahan ini untuk mengingati serta menghargai ibu yang telah melahirkan serta berkorban untuk kita.

Peranan warga ibu adalah sangat penting dalam pembentukan negara. Hasil kasih sayang dan didikan daripada merekalah yang mencorakkan masyarakat dan negara, kerana merekalah insan paling hampir dengan anak-anak yang akan membesar dan kemudiannya berperanan membina negara.

Warga ibu adalah antara kelompok besar dalam negara ini.

Mereka boleh menjadi penentu kepada pembentukan pentadbiran negara. Undi mereka sangatlah berharga dan Pakatan Harapan sangat menagih sokongan daripada mereka.

Dalam keadaan negara ketika ini, warga ibu sangat terkesan dengan kegagalan urus tadbir negara. Kos kehidupan yang semakin meningkat khususya selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sangat menghimpit warga ibu yang perlu mereka lalui setiap hari.

Pakatan Harapan komited untuk membina serta melaksana pentadbiran yang inklusif dan peduli khususnya aspek kehidupan rakyat dan kestabilan ekonomi, untuk membantu mensejahterakan peranan ibu-ibu melaksanakan peranan mereka dengan lebih baik dan cemerlang.

Oleh yang demikian, kami mengajak warga ibu agar dapat bersama mencorakkan perubahan negara dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

Kami yakin, warga ibu mempunyai azam yang tinggi untuk melihat satu pentadbiran baru yang lebih memahami denyutan nadi rakyat khususnya warga ibu.

Selamat Hari Ibu. Jom bersama lakukan perubahan!


MOHD SANY HAMZAN ialah Ketua Pemuda AMANAH Nasional. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS