Anak harimau diajar makan daging

Mohamed Sukri Omar        

Anggota parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar tidak perlu menjadi jurucakap kepada PKR, DAP atau Parti Amanah Negara (AMANAH) berhubung pendirian PAS dalam kerajaan negeri Selangor.

Ia adalah ketetapan PAS berdasarkan pertimbangan maslahah dan mafsadah yang didasari syariat, serta menjadi keputusan kolektif dan bukannya hawa nafsu.

Penjelasan tersebut telah pun dinyatakan berulang kali dan parti tidak perlu mensyarahkannya lagi. Ia menunjukkan parti sentiasa berpijak di bumi nyata dengan realiti semasa tanpa menggadai prinsip.

Datuk dipelawa hadir ke usrah untuk mendapat keterangan lanjut agar difahami semasaknya.

Sebagai anggota PAS, Mahfuz sewajibnya mengetahui saluran untuk menyatakan pendapat termasuk berbeza pandangan.

Sewajibnya juga Datuk akur dan mematuhi disiplin dan adab berorganisasi jika bertegas masih mahu menjadi anggota PAS.

Jika tidak, Datuk hanya sekadar melafaz di mulut sebagai ahli PAS, tetapi menjanggalkan diri untuk berada di rumah sendiri.

Soal kepatuhan dan ketaatan inilah yang sering Datuk sebut ketika berada di saf kepimpinan dahulu, tetapi kini sebaliknya.

Kami mengira wajar Datuk muhasabah dan lebih tahu bertempat dari menzahirkan diri seperti sesumpah dan makan keliling.

Kami nasihatkan, ada baiknya juga difokuskan kepada tanggungjawab di parlimen yang Datuk wakili sekiranya masih ‘berminat’ bertanding penggal hadapan.

Jika Datuk masih seronok untuk sibuk mencampuri urusan rasmi parti termasuk di parlimen dan negeri lain, elok rasanya dipertimbangkan untuk meletakkan jawatan sebagai anggota parlimen Pokok Sena kerana kedudukan itu diperoleh hasil dari hak, peruntukan dan pengorbanan parti ini.

Fokus PAS pascamuktamar adalah memberi khidmat terbaik untuk kebajikan rakyat. Kami tiada masa mahu melayan omongan kosong Datuk.

Kalau benar fokus Datuk jatuhkan BN, maka teruskan membongkar penyelewengan bukan menyerang parti sendiri.

Cukuplah Datuk membantu BN menyerang PAS. Seperti pepatah Melayu 'anak harimau diajar makan daging'.


MOHAMED SUKRI OMAR ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor.

Tulisan ini pandangan penulis dan organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In