Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Malaysia perlu tegas dan berani untuk menyanggah tindakan menuding jari yang mengaitkan Islam dengan ekstremisme dan tidak menikus atau terikut rentak barat dalam memburuk-burukkan Islam dan umatnya.

Malah, Malaysia perlu memimpin usaha membetulkan kekeliruan pemimpin dunia Islam terhadap 'gejala' ini.

Realitinya, setiap kali berlaku tragedi radikalisme, terlalu cepat Islam diperukkan ke kandang pesalah walaupun tanpa pembuktian.

Tidakkah mustahil kita melihat ia sebagai suatu perancangan teratur hingga dapat melakukannya di banyak bahagian dunia dan melolosi kawalan ketat pasukan akti keganasan?

Ketika sama kita menyaksikan insiden tembakan bersenjata yang membunuh masyarakat awam sebagaimana banyak kes di Amerika Syarikat.

Ia dilakukan oleh individu bukan Islam dan tidak juga mewakili mana-mana organisasi, lantaran pelbagai tekanan dan ketidaksaksamaan hidup.

Begitu juga kekejaman di Palestin, Iraq, Afghanistan, Syria, Myanmar dan lain-lain yang memangsakan kaum wanita, warga tua dan kanak-kanak.

Apakah pejuang hak asasi manusia buta dan tuli melihat situasi ini yang tidak pernah ditangani sewajarnya dan berlaku selama berpuluh tahun? Mengapa ini tidak dilabel ekstremis?

Ketidakadilan seperti inilah menjadi punca berkembang dan merebaknya sikap pelampau yang bukan hanya dari kalangan orang Islam, tetapi juga dari individu dan kumpulan yang tidak wajar dinisbah atau dikaitkan kepada mana-mana agama, bangsa atau kaum sekalipun.

Islam adalah agama keamanan, pelindung dan rahmat untuk semua. Hakikatnya permainan pihak berkepentingan menjadikan Islam dan umatnya sebagai kambing hitam dari propaganda tipikal yang diulang-ulang.

Masyarakat dunia mesti bersama menghentikan penyakit mental dan jiwa ini.

Tuduhan dan fitnah ke atas Islam ini mesti dipulih dan dirawat serta perlu dikategorikan sebagai disorientasi psikiatri dalam realiti hari ini. Kerana ia masalah kejiwaan dan pemikiran di mana gagal melihat hakikat sebenar terhadap isu keganasan yang berlaku atas muka bumi.

Semua pihak termasuk agensi media juga perlu berperanan membantu usaha menanganinya dan tidak menjadi batu api yang mengadu domba untuk melakar kehodohan ke wajah Islam.

Media perlu membantu membetul salah faham dan mendidik masyarakat dengan maklumat yang benar serta adil.

Kami menggesa kerajaan Malaysia berwaspada dengan semua agenda tersembunyi ini agar tidak menjadi mangsa atau biduk catur pihak tertentu.

Berdiri dan promosikanlah Islam sebagai teraju sebenar untuk mencapai hakikat keamanan bagi masyarakat majmuk di bumi ini sebagaimana pernah ditunjukkan Rasulullah SAW.


HISHAMUDDIN ABDUL KARIM adalah ketua penerangan Dewan Pemuda PAS.

Surat ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS