Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Assalamualaikum Sdr Khairy Jamaluddin.

Mungkin saudara tidak mengenali saya. Tidak tahu apa gelaran hendak dipanggil... angah, abang atau saudara?

Kita ni kampung sebelah-sebelah saja di Rembau ni. Saudara di Kampung Gadong, saya pula di Kampung Tanjung. Mungkin juga sewaris atau bau-bau bacang. Bapa saudara saya adalah sepupu kepada arwah bapa anda, Dato Jamaluddin. Ibu saudara saya sering mengunjungi ibu anda di Kuala Lumpur.

Di sini ingin diceritakan sedikit masalah orang Rembau sejak akhir-akhir ini, memandangkan saudara pun orang Rembau, dan kawasan parlimen Rembau pula luas dari Kampung Gadong sampailah ke Senawang.

Datanglah jengok-jengok melihat masalah rakyat di sini. Janganlah hanya berbincang mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan dasar-dasar baru yang lain. Orang kampung di Rembau dan pekerja kilang tidak faham itu semua.

Yang mereka tahu sekarang ialah harga minyak sudah naik, harga beras sudah naik, harga telur ayam sampai 30 sen sebiji, manakala gas masak RM19 setong. Macam mana lagi hendak kawal inflasi kalau harga barangan yang amat diperlukan sudah naik tetapi terpaksa juga beli?

Ditambah pula dengan masalah air sekarang ini. Kejap ada kejap tak ada. Kalau ada pun, tekanannya rendah, lepas itu bil airnya tinggi.

Pernahkah saudara pergi ke Terminal One Seremban atau Perhentian Teksi Rembau untuk berborak dengan pemandu teksi di sana... bertanya apa masalah mereka sejak harga minyak naik? Apakah mereka senang mendapat penumpang sekarang, adakah mereka sering diganggu oleh pegawai penguatkuasa dan adakah cukup makan mereka anak bini untuk hari tersebut.

Apabila saudara balik ke Kampungg Gadong, bila lalu Pedas, tutuplah 'aircon' kereta dan buka tingkap. Apa yang saudara bau kalau bukan bau busuk tapak pelupusan sampah yang datangnya dari satu Seremban dan dihumban di Pedas, di tepi jalan, dekat kampung.

Apabila saudara lalu Chembong pula, masuklah ke dalam kawasan perindustrian Chembong. Tengok berapa banyak kilang yang telah ditutup dan dibiarkan menjadi sarang segala jenis benda buruk.

Ini hanyalah sedikit sahaja masalah yang dibentangkan untuk tatapan saudara. Dalam sibuk-sibuk membuat perancangan DEB tu, jengok-jengoklah orang Rembau...Wassalam.

ADS