Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers
Usah diperbesarkan isu siapa pejuang kemerdekaan!

Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, mencetuskan pendapat yang kontradiksi, adalah perkara biasa. Lagipun, ia hanya mencermin perspektif individu tentang sesuatu perkara dan bukannya mewakili pendapat semua orang. Oleh itu, tidak wajarlah untuk mengatakan pendapat seseorang itu salah, sebelum meneliti terlebih dahulu, fakta dan logiknya.

Setelah membaca artikel The real fighters for Merdeka yang ditulis oleh Ronnie Liu dalam lamanweb DAP serta melihat reaksi ekstrim Umno, maka secara tidak langsung, ia menunjukkan ruang untuk individu mencetuskan pendapat di negara ini, sebenarnya masih terikat dengan kehendak mereka yang memegang kuasa.

Sesiapa yang berani memecah tradisi ini akan ditentang habis-habisan, sepertimana halnya dengan Ronnie Liu. Patutlah Chin Peng dalam bukunya, Alias Chin Peng: My side of history berkali-kali mengulangi kenyataan bahawa sejarah negara ditulis berdasarkan perspektif mereka yang menang. Dengan lain perkataan, mereka yang kalah akan menjadi pengkhianat bangsa di dalam buku sejarah sekolah.

Tindakan Ronnie Liu mengemukakan pendapat bahawa Umno bukan satu-satunya pejuang kemerdekaan negara adalah tidak keterlaluan. Kemerdekaan adalah hasil perjuangan bersama. Sekiranya Tunku Abdul Rahman masih hidup, saya percaya beliau juga akan bersetuju bahawa kemerdekaan adalah hasil perjuangan rakyat Malaysia.

Jika kita hendak membandingkan siapa yang lebih berhak mendapat pengiktirafan dalam memperjuangkan kemerdekaan Malaysia, terlebih dahulu kita harus berterima kasih kepada Perang Dunia Kedua dan kekejaman tentera Jepun.

Ini kerana ia adalah antara faktor menyebabkan kelemahan British setelah Perang Dunia Kedua. Lemahnya British membolehkan Tanah Malayu menuntut kemerdekaan dengan mudah serta tanpa pertumpahan darah.

Walaupun pada dasarnya ramai yang tidak sependapat dengan kenyataan Ronnie, namun ketika melihat reaksi ekstrim Umno, timbul pula rasa simpati terhadap Ronnie. Memang Ronnie bersalah kerana menafikan peranan Umno sebagai pejuang kemerdekaan, tetapi tidaklah sehingga namanya disamakan dengan Chin Peng atau komunis.

Lagipun, apalah penting sangat dengan pendapat Ronnie sehingga Umno ingin 'mengisytiharkan perang' terhadapnya. Jika diteliti betul-betul, kenyataan Ronnie, tidak terdapat pula fakta-fakta sejarah yang dianggap terpesong. Semua nama tokoh sejarah atau pertubuhan politik yang dinyatakan, boleh didapati dalam buku sejarah di sekolah negara ini. Cuma dalam hal ini, perspektif Ronnie sahaja yang berbeza.

Kenyataan Ronnie bukanlah untuk memutar-belitkan fakta sejarah negara, seperti yang dituduh oleh Umno dan Pemuda Umno. Sebaliknya, ia lebih merupakan perspektif berbeza mengenai sejarah negara. Dalam dunia akademik, fakta sejarah sentiasa diperbaharui menerusi penemuan dan pendapat baru.

Penemuan dan pendapat baru ini kemudian dianalisis untuk mencari titik keseimbangan. Dengan terdapatnya pro dan kontra dalam fakta sejarah, barulah subjek sejarah akan menjadi lebih menarik. Tentang apakah hasilnya, itu terpulanglah kepada bagaimana ahli akademik menilainya.

Isu Ronnie Liu mempertikaikan siapa pejuang kemerdekaan negara adalah perkara yang remeh-temeh dan tidak sepatutnya dibawa sehingga ke pihak polis. Tindakan ini adalah bertentangan dengan amalan demokrasi.

Puluhan buah buku sejarah mengenai sejarah negara yang kita baca sejak di bangku sekolah sudah memadai untuk meyakinkan kita siapa pejuang kemerdekaan Malaysia sebenarnya. Usahlah Umno berasa rimas dengan kenyataan Ronnie yang tidak sampai seribu patah perkataan itu. Lagipun, Umno sendiri tahu bahawa sikap pembangkang memang seperti itu. Jika Umno mudah termakan dengan kata-kata Ronnie itu, maka jelaslah menunjukkan kelemahan di pihak Umno sendiri.

ADS