Saya mewakili Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) untuk merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Sik, Kedah, Datuk Dr Haji Wan Azmi Wan Ariffin atas sikap dan kesanggupannya turun berjumpa dengan kami sebelum memasuki Dewan Rakyat pada 21 September.
Pada hari berkenaan, beliau berhenti seketika untuk memerhati perhimpunan mahasiswa yang menuntut keadilan berhubung kes seorang pelajar yang dikasari pegawai Hal-Ehwal Pelajar (HEP) sebuah universiti terkemuka tanahair.
Beliau memberhentikan kereta di luar bangunan Parlimen dan kemudian terus menuju ke arah mahasiswi sambil meneliti beberapa dokumen.
"Apa sebenarnya berlaku?" tanya beliau sambil ditemani seorang pengawal keselamatan.
"Tadi ada lima orang pemimpin pelajar telah masuk mengemukakan tuntutan," balas pengawal berkenaan.
Sebenarnya, dalam negara demokrasi, selain pemimpin berjiwa rakyat, kita perlukan pemimpin berjiwa pelajar. Ini kerana, kaum pelajar adalah kelompok pemimpin masa depan.
Dengan bantuan beberapa ahli Parlimen, akhirnya lima wakil SMM dijemput berjumpa wakil Kementerian Pengajian Tinggi berhubung isu kekasaran itu.
Seluruh ahli Parlimen wajar menginsafi bahawa kebanyakan pemimpin hari ini adalah pemimpin mahasiswa suatu masa dulu. Misalnya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Sudah tentu, Perdana Menteri berasa dukacita mendengar khabar bahawa pilihanraya kampus di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dirosakkan melalui suatu saringan kepimpinan yang sangat aneh, seperti perucapan awam dalam bahasa Inggeris.
Ini kerana beliau adalah antara juara yang mempertahankan bahasa Melayu semasa beliau menjadi presiden GPMS. Pemimpin berjiwa rakyat, lahir daripada kepimpinan mahasiswa itu sendiri.
Jika suara SMM dapat diterima dan dibahaskan di Parlimen, mungkin kementerian lain dapat bersama-sama membantu menyelesaikan masalah tersebut. Kami melihat, misalnya Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dapat memikirkan satu pelan tindakan tersusun untuk menyemai nilai-nilai murni di jiwa pegawai HEP yang bertindak kasar ke atas mahasiswa baru-baru ini.
Islam Hadhari tentulah tidak mencapai matlamatnya jikalau Kempen Budi Bahasa tidak diamalkan oleh pegawai HEP di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Ini kerana, matlamat kehadiran Rasulullah itu sendiri adalah untuk mengasuh kemuliaan akhlak. Justeru, Kempen Budi Bahasa inilah sendi yang mengukuhkan Islam Hadhari itu.
Semoga pegawai HEP dapat berbudi bahasa pada masa depan, dengan menunjukkan akhlak yang murni sebagai contoh ikutan kepada pelajar. Jika tidak, musnahlah harapan mulia Perdana Menteri dan Kempen Budi Bahasa yang diperjuang Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan itu.
Bukanlah janggal mahasiswa membentangkan laporan mereka di Parlimen. Dalam hal ini, kita perlu mencontohi Parlimen United Kingdom yang memberi peluang kepada Timbalan Pengerusi Kelab Umno UK, Najmil Faiz Mohamaed Aris, membentangkan kajian bertajuk 'Micro Machine Process' yang akhirnya memenangi anugerah 'The Best Research of Good Prospect (2005)' Mac lalu. Ini membuktikan kepimpinan pelajar kita diiktiraf oleh Parlimen luar negara.
