Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Keputusan PAS Memilih Pesuruhjaya PAS Wilayah, Mohammad Noor Mohammad sebagai calon di parlimen Titiwangsa adalah keputusan tepat bagi membantu penduduk Kampung Bharu dan seluruh Parlimen Titiwangsa.

Dakwaan Syed Badli Shah Osman, Penolong Setiausaha Angkatan Muda Keadilan bahawa PAS mengemukakan calon kitar semula kerana ketandusan calon adalah sangat tidak berasas.

Bagi PRU14 ini, PAS Wilayah Persekutuan menampil 9 calon dalam Wilayah. Manakala beberapa ahli dan pemimpin lain dari Wilayah seperti Khairil Nizam Khairuddin, Nurul Islam, Riduan Mohd Noor, Nuridah, Nurkhuzaini dihantar bertanding di Selangor dan Terengganu.

PAS Wilayah mempunyai ramai pilihan calon dan Mohammad Noor, pilihan terbaik untuk Titiwangsa yang mempunyai banyak isu berhubung soal tanah dan pembangunan seperti di Kampung Bharu.

Mohammad Noor ialah bekas pegawai Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA). Dengan pengalaman dan usaha beliau bersama-sama Almarhumah Dr Lo'lo', ahli Parlimen PAS itu telah berjaya menghalang DBKL untuk mengambil tanah Kampung Bharu dengan nilai RM240 sekaki melalui Pelan Struktur KL 2020 yang dibentangkan pada 2008.

Bantahan PAS yang diketuai beliau menyebabkan DBKL gagal menggadaikan tanah Kampung Bharu mengikut kehendak Menteri Wilayah daripada Umno ketika itu.

Tidak lupa juga bantahan PAS terhadap perobohan Kampung Chubadak dan Kampung Pasir di kawasan lain yang didalangi Umno.

Semasa semua tindakan dan perjuangan diatas berlaku, calon Parti Peribumi Bersatu (BERSATU) Rina Harun ada dimana?

Rina Harun (gambar, bawah) ketika itu duduk jauh di luar Kuala Lumpur. Beliau ketika itu ketua Puteri Umno Sepang yang sibuk menghasut rakyat menyerang Pakatan Rakyat.

Bila masuk BERSATU, beliau entah dari cawangan mana, tiba-tiba dilantik jadi Ketua Srikandi BERSATU menggantikan Anina Saadudin yang disingkirkan kerana berani tegur 'sikap diktaktor' Mahathir.

Walaupun sudah diumumkan sebagai calon namun ahli BERSATU Titiwangsa menolak beliau kerana dianggap orang luar (dari Sepang). Tempat lahir sahaja di Keramat, tapi tidak pernah pun terlibat dengan apa-apa aktiviti dengan BERSATU Keramat. Akar umbi BERSATU pun tak kenal beliau.

Muhamad Saleh Hashim pemimpin BERSATU Titiwangsa dalam kenyataannya kepada FMT semalam menegaskan akan bertanding sebagai calon bebas melawan Rina.

Belum penamaan calon, mereka sudah bercakaran. PAS menasihatkan mereka menyelesaikan masalah dalaman mereka sebelum mempertikaikan kredibiliti calon PAS.

Pemuda PAS Wilayah menyokong penuh pencalonan Mohammad Noor Mohamad sebagai calon Titiwangsa bagi PRU14.

Kepada Syed Badli jangan lupa, PKR sudah membuang Anwar dengan mengitar semula bekas Presiden Umno, Mahathir yang terbuang sebagai calon Perdana Menteri untuk Pakatan Harapan (HARAPAN).

Rakyat Titiwangsa wajar abaikan sahaja calon BERSATU yang meminjam bendera PKR. Pilihanraya di Titiwangsa adalah Pertandingan dua penjuru antara PAS dan BN. PKR sekadar pengacau dan cuba memecahkan undi PAS untuk bagi kemenangan mudah kepada BN.

Maklumlah mereka juga parti biru, DNA mereka juga Umno

 



MOHD SHAHIR ABU HASSAN ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Zikri Kamarulzaman

Lihat Komen
ADS