Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (MPPUPM), yang suka menggelar dirinya sebagai pertubuhan yang sah telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri pada 22 Nov. Memorandum itu mengandungi 12 fakta, yang sebenarnya hanya merangkumi empat perkara. Berikut adalah rumusannya:

  • Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) adalah persatuan yang haram dan hanya mewakili segelintir pelajar yang tidak puas hati.

  • Perhimpunan yang diadakan di UPM pada 10 Nov 2005 itu perhimpunan haram.
  • MPPUPM merupakan sebuah pertubuhan yang sah dan mewakili kebanyakan pelajar UPM.
  • Station TV ntv7 tidak professional, sebab mereka hanya mendengar pandangan minoriti lalu menyiarkan program yang berat sebelah.
  • Ketika kerajaan sedang giat mencari ikhtiar untuk menyelesaikan krisis sistem pengajian tinggi, tindakan kurang matang MPPUPM telah menambah buruk krisis tersebut. Tindakan MPPUPM yang menuduh SMM sebagai pertubuhan haram telah menunjukkan keangkuhan dan kebodohan mereka.

    Kebebasan untuk menyertai atau menubuhkan mana-mana pertubuhan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, yang merupakan undang-undang tertinggi di negara ini. Banyak pihak termasuk ahli-ahli politik Barisan Nasional (BN) sendiri telah mengecam Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang mengugat kebebasan mahasiswa.

    Tetapi MPPUPM yang dikatakan sebagai pejuang hak mahasiswa ini pula menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan atas SMM kerana mereka telah melanggar Auku.

    Bagaimana masyarakat kita dapat menaruh harapan ke atas mahasiswa yang takut pada persaingan dan cuba menghapuskan pesaingnya dengan tangan penguasa? Bagaimana masyarakat kita boleh yakin bahawa pemimpin negara pada masa depan akan menghormati hak asasi manusia, sedangkan bakal pemimpin-pemimpin ini cuba mencabul hak teman-teman mereka secara proaktif?

    MPPUPM juga telah mengeluarkan kenyataan yang lucu apabila menyatakan demonstrasi aman adalah cara tahun 70an. Kata pemimpinnya, Sulhairil, kita telah melangkah ke era millenium dan harus menyelesaikan masalah melalui cara aman seperti perbincangan meja bulat.

    Komen keanak-kanakan ini menunjukkan pengetahuan dan perspektif "bakal pemimpin" yang amat cetek dan sempit. Sejak melangkah ke era millennium, banyak perhimpunan dan protes telah diadakan di seluruh dunia, Antaranya:

    • Persidangan Menteri-menteri WTO di Doha, Qatar pada 2001 dan Cancun Mexico pada 2003 telah menarik protes yang disertai oleh puluhan ribu orang.

  • Pada 1 July 2003 dan 2004, setengah juta penduduk Hong Kong turun ke jalanraya untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.
  • Pada Mac 2005, jutaan orang menyertai perhimpunan anti-perang Iraq di seluruh dunia.
  • Pada July 2005, ribuan orang berhimpun meluahkan pendapat mereka terhadap Kumpulan Lapan (G8) di Gleneagles, Scotland.
  • Inikah "cara 70an" yang disebut-sebutkan oleh pemimpin pelajar kita?

    MPPUPM juga mendakwa 93.4 peratus pelajar UPM membuang undi semasa pilihanraya kampus. Izinkan saya mengingatkan MPPUPM bahawa pilihanraya kampus sesi 2005/2006 ini telah dicemari oleh penyelewengan-penyelewengan yang begitu jelas.

    UPM yang melaksanakan e-undi adalah antara kampus yang diboikot oleh salah satu pihak yang menyertai pilihanraya kampus. E-undi yang dijalankan adalah tidak telus dan mudah dimanipulasikan.

    Adakah 93.4 peratus ini peratusan undi yang sah dan benar? Jika ini boleh disahkan, adakah peratusan setinggi ini dapat dicapai jika pihak universiti tidak mengugut pelajar seperti yang dilaporkan oleh pihak media?

    Selain itu, 93.4 peratus penggundi yang turun menggundi tidak mempunyai pilihan calon kerana pilihanraya kampus diboikot oleh pihak lain. Pilihanraya MPPUPM telah dimenangi tanpa bertanding oleh pelajar pro-aspirasi.

    ADS