Saya amat terkejut dengan liputan berita baru-baru ini tentang tindakan pemimpin-pemimpin agama yang mendesak kerajaan supaya mengharamkan penukaran jantina, dan juga untuk mengharamkan perkahwinan sejenis.
Pada pendapat saya, tuntutan-tuntutan ini datangnya daripada kekurangan pemahaman tentang isu seksualiti dan gender.
Memang, sesetengah orang merasakan bahawa golongan minoriti seksual tidak boleh diterima dalam masyarakat kita, tetapi pada hemat saya, apa yang sebenarnya tidak boleh diterima ialah penyalahgunaan mekanisme undang-undang untuk mencabul hak-hak golongan minoriti ini. Semua kerana mereka mempunyai orientasi seksual atau identiti jantina yang berlainan daripada golongan majoriti.
Terlalu mudah untuk kita menjadikan minoriti seksual sebagai sasaran segala ugutan kita kerana mereka merupakan golongan yang sudah tersisih, dan oleh itu tidak mempunyai keupayaan untuk mempertahankan diri dengan berkesan daripada serangan pemimpin agama.
Tindakan yang lebih bijaksana ialah bagi golongan alim ulama dari setiap agama berhenti seketika dan berdialog secara terbuka dengan minoriti seksual demi berkongsi pengalaman dan pengetahuan secara bersama.
Pemimpin-pemimpin agama tersebut mendakwa tidak ada ruang untuk kepelbagaian seksual di dalam agama. Akan tetapi, bukankah semua agama menuntut umat manusia menghormati segala ciptaan Tuhan? Dan jika begitu, bukankah minoriti seksual juga merupakan ciptaan Tuhan yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa?
Jika Tuhan sendiri membahasakan diri-Nya sebagai yang Maha Mengasihi, Maha Mengasihani dan Maha Bijaksana, bukankah menjadi tanggungjawab kita untuk menerapkan nilai-nilai ini di dalam perhubungan kita sesama manusia walaupun daripada orientasi seksual dan identiti jantina yang berbeza?
Usaha untuk menanam kebencian orang ramai terhadap golongan minoriti seksual sama sekali bukan suatu tindakan yang produktif. Ia hanya akan membawa penderitaan kepada mangsa yang tidak bersalah. Sebaliknya, kita sebagai masyarakat yang prihatin perlulah cuba memahami golongan yang tersisih seperti minoriti seksual.
Akhir kata, segala tindakan kita perlulah tercetus daripada niat yang murni. Akan tetapi, hanya Tuhan yang mengetahui dan boleh menilai niat yang tertanam di dalam hati setiap insan.
