Most Read
Most Commented
Read more like this

Di dalam Perhimpunan Agung 2005, Presiden Umno telah berkata kerajaan tidak akan dapat selama-lamanya berperanan sebagai "Santa Claus" dengan menganugerahkan projek dan kontrak kepada kontraktor Melayu.

"Orang Melayu tidak harus dibina kekuatan berasaskan kepalsuan. Saya sedar ketetapan ini keputusan yang tidak popular. Tetapi kita harus mengambil jalan betul. Survival bangsa dan negara hendaklah diutamakan," katanya.

Tetapi baru-baru ini akhbar Sunday Star telah mendedahkan bahawa Ketua-Setiausaha Perbendaharaan telah mengeluarkan surat pekeliling bahawa kontraktor serta agensi kerajaan hanya boleh membeli lampu jalan dari tiga buah syarikat bumiputera sahaja.

Menurut surat pekeliling ini lagi, arahan ini dikeluarkan setelah didapati lampu import masih digunakan di dalam projek-projek kerajaan walaupun lampu buatan tempatan boleh diperolehi di pasaran.

Amalan menggunakan lampu-lampu import ini, menurut surat pekeliling ini lagi, tidak selari dengan dasar kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahan tempatan dan bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan usahawan-usahawan Bumiputera.

Kita tidak tahu mengapa surat pekeliling sedemikian dikeluarkan.Walau bagaimanapun bunyi surat ini agak nasionalis - untuk melindungi kontraktor-kontraktor bumiputera.

Tetapi yang musykilnya, mengapakan keistimewaan diberikan kepada tiga buah syarikat ini sahaja? Apakah kelebihan mereka? Mengapakah Perbendaharaan tidak membuka peluang seluas-luasnya kepada syarikat-syarikat tempatan yang lain jika benar nawaitunya adalah untuk melindungi pengeluar-pengeluar lampu tempatan?

Apa pun alasan yang diberikan, yang jelas keistimewaan yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang terpilih ini mungkin tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada negara.

Lihat sahaja apa yang berlaku di dalam industri permotoran. Vendor-vendor Proton yang selama ini diberi segala bentuk perlindungan dan keistimewaan masih belum mampu berdiri di atas kaki sendiri walaupun telah menikmati keistimewaan ini selama 20 tahun.

Hakikat ini diakui sendiri oleh Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah dipetik berkata, yang tidak kompetitif bukannya Proton tetapi vendor-vendor Proton.

Katanya, jika mahukan Proton dengan harga murah untuk kekal berdaya saing, adalah lebih baik Proton membeli komponen daripada negara luar seperti China yang mungkin jauh lebih murah.

Sudah tidak masanya untuk penggubal-penggubal dasar kembali ke alam realiti.

Amalan memberikan tongkat untuk berjalan sudah ketinggalan zaman. Perdana Menteri sendiri pernah berkata, zaman memberikan ikan sudah berakhir. Sekarang adalah zaman untuk memberikan kail dan joran.

Tidak kisahlah jika lampu tempatan atau import yang digunakan untuk projek-projek kerajaan.

Yang penting ianya boleh berfungsi dengan baik dan murah harganya kerana wang yang digunakan untuk membiayai projek-projek kerajaan adalah wang rakyat.

Seperti kata pepatah Melayu, "Kalau tak pandai menggelemai, berciritlah kambing kelak, dikunyah patah gigi, ditelan sembelit."

Ingatlah pesanan Pak Lah. Kerajaan bukannya Santa Claus.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS