Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mak Nyah adalah komuniti minoriti yang dianggarkan lebih dari 20,000 orang dalam Malaysia. Sekian lama kami diberi bermacam label dan panggilan negatif, yang langsung tidak membantu kami menjalani kehidupan seharian dengan penuh tenang dan produktif seperti orang lain.

Saya amat terkilan dan sedih dengan tulisan Khairul Anwar Shazali dari Petra Jaya, Kuching dalam Berita Harian , ruangan Surat dan E-mel pada Dis 22.

Pemahaman beliau tentang Mak Nyah amat cetek dan berdasarkan andaian dan penilaian yang tidak rasional dan prejudis.

Komuniti minoriti Mak Nyah telah wujud sekian lama walaupun tiada pengiktirafan secara rasmi dari kerajaan maupun masyarakat. Kegusaran Encik Khairul Anwar Shazali terhadap berkembangnya komuniti Mak Nyah serta isu-isu terkini menunjukkan betapa sempit dan jahilnya beliau tentang apa itu Mak Nyah atau transeksual (terma yang digunakan dalam bidang perubatan).

Kenyataan pakar perubatan tentang bagaimana kewujudan Mak Nyah boleh berlaku langsung tidak diambil kira malah disangkal kebenarannya. Beliau lebih percaya kepada pendapat dan tanggapan sendiri yang kadangkala tidak berasas dan tidak mengikut fakta.

Kewujudan Mak Nyah tiada kaitan langsung dengan lebihan hormon perempuan yang ada pada diri mereka kerana setiap orang dilahirkan tidak kira lelaki atau perempuan secara semulajadi mempunyai kedua dua hormon berkenaan dengan jumlah yang berbeza beza.

Apa yang diterangkan oleh pakar perubatan ialah:

  1. Semasa dalam kandungan, jantina otak seseorang bayi itu pada keseluruhannya adalah otak seorang perempuan.

  • Selepas 20 minggu perkembangan bayi lelaki, testes mula mengeluarkan rembesan hormon lelaki pada otak seseorang bayi itu dan pada masa itulah ia memiliki otak seorang lelaki.
  • Bagi Mak Nyah/transeksual, besar kemungkinan otak mereka tidak sensitif dengan rembesan hormon lelaki tersebut dan ini menyebabkan adakalanya rembesen hormon lelaki pada otak seseorang bayi lelaki tidak berlaku seperti lazimnya dan ini mengakibatkan seseorang bayi lelaki itu berkembang dan merasakan dia seorang perempuan.
  • Ini bercanggah dengan pendapat beliau yang mengatakan Mak Nyah satu penyakit mental yang terang terang menambahkan lagi stigma sosial yang masih lagi menebal terhadap komuniti minoriti Mak Nyah.

    Adakah ini nilai kemanusiaan yang beliau cuba terapkan? Masalah mental yang Mak Nyah alami adalah disebabkan oleh sikap orang yang prejudis dan mudah membuat hukuman serta cadangan "penyembuhan" yang tidak masuk akal.

    Mak Nyah juga bukan masalah agama. Ia hanya menjadi masalah agama apabila seseorang Mak Nyah itu asyik marah dan menyalahkan Tuhan yang dianggapnya tidak berlaku adil kepadanya kerana menjadikannya Mak Nyah.

    Saya juga menyangkal pendapat beliau yang menyatakan bahawa Mak Nyah adalah merupakan "satu gaya hidup".

    Apakah benar ini bentuk gaya hidup yang Mak Nyah pilih sendiri yang pada hakikatnya penuh dengan kesengsaraan, tekanan, stigma, cercaan, disisih keluarga dan masyarakat dan terdedah pada keganasan?

    Mak Nyah bukanlah isu pakaian,gaya hidup,tukar jantina dan sebagainya. Mak Nyah adalah orang yang perasaan/naluri dan pemikirannya tidak sama dengan fizikal dan jantina yang ada pada mereka.

    Mak Nyah adalah satu kelahiran dan kewujudan bukannya sesuatu aksi atau kelakuan yang boleh ditiru, dibentuk, dipengaruhi dan diada-adakan!

    ADS