Most Read
Most Commented
Read more like this

Syor penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) patut diterima dengan hati terbuka oleh warga polis. Masyarakat yang seharian berurusan dengan polis, tentulah tertanya-tanya, apakah asas penolakan sebenar IPCMC terbaru ini?

Jikalau tidak, rakyat tentu lebih berasa syak mengenai salah laku yang wujud dalam agensi berkenaan.

Ramai pihak kurang yakin bahawa hujah; 'sudah banyak suruhanjaya ditubuhkan, justeru tidak perlu lagi ditubuhkan suruhanjaya baru' adalah hujah yang tidak kemas.

Inkuiri awam yang dilakukan baru-baru ini, ialah bukti jelas bahawa ada hal yang perlu diperbetulkan lagi demi meningkatkan keberkesanan polis di mata masyarakat. Jika semakin banyak usaha menambah baik, maka khalayak semakin percaya kepada polis.

Polis haruslah ingat bahawa kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ialah kerajaan yang menuju kepada 'good governance'. Untuk mencapai tahap itu, segala pengorbanan diperlukan bagi membuktikan ketelusan dalam pentadbiran.

Di dalam Sulalatus Salatin, Tun Seri Lanang merakamkan bagaimana akhirnya, Sultan Alauddin Ria'yat Syah sendiri yang turun ke padang menangkap pencuri. Apakah mungkin Baginda sendiri kurang yakin terhadap kawalan keselamatan yang diamanahkan kepada Temenggung pada ketika itu?

Kita tidak tahu kerana pengarang manuskrip itu sendiri tidak menjelaskannya. Apa yang pasti, langkah kerajaan menggarap usaha memulihkan mutu dan perkhidmatan polis sepatutnya disokong oleh pelbagai pihak tanpa mengira kepercayaan dan politik kepartian demi kesejahteraan semua masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Kita juga berharap, pihak polis dapat menyatakan pendirian yang jelas berhubung, apakah cadangan dan syor suruhanjaya baru-baru ini yang dikatakan sebagai menyulitkan gerak kerja polis. Hal ini amat penting supaya kita sama-sama dapat membahaskannya.

Dalam setandan pisang bukan semuanya elok. Kerana nila setitik, rosaklah susu sebelanga. Justeru, tiga persatuan polis tidak perlu risau. Tidak semua pegawai polis yang bersalah. Kita yakin siasatan rapi akan bersikap adil dan memastikan hanya cawangan yang bermasalah akan diberikan perhatian dalam IPCMC ini.

Suatu hal menarik untuk dijawab oleh tiga persatuan polis tersebut ialah kenapa sebelum ini tiada satu persatuan polis yang tampil dalam menyuarakan bantahan terhadap beberapa suruhanjaya bebas mengenai polis?

Walhal, polis boleh berhujah sebelum ini dengan berkata: "Suruhanjaya bebas tak perlu diwujudkan kerana sudah ada badan tatatertib dalaman polis yang memantau salah laku kami."

Tapi, yang anehnya, ketika penubuhan suruhanjaya bebas kali ini, barulah ada tiga badan polis yang bersuara. Masyarakat kini mahukan jawapan yang tepat mengenai asas penolakan tiga persatuan polis tersebut.

Kepada Datuk Seri Abdullah, teruskan perjuangan!

ADS