Selaras dengan seruan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat mengubah gaya hidup bagi menampung kesan kenaikan minyak, berikut diberikan beberapa panduan kepada pelbagai lapisan golongan masyarakat dari golongan rakyat kepada pemimpin rakyat dan daripada golongan miskin ke golongan kaya untuk mengubah gaya hidup mereka.
Jika sebelum ini kita kerap makan luar, amalkanlah makan dirumah. Jikalau tiada masa untuk memasak, pastikan mempunyai simpanan mi segera yang banyak. Tetapi kalau orang yang memang tidak pernah makan luar kerana duit belanja dapur hanya cukup untuk makan d irumah, macam mana mereka hendak mengubah gaya hidup mereka?
Jika sebelum ini kita menghantar anak ke sekolah dengan kereta kita, hanya anak kita seorang, maka sekarang kita berpakatlah dengan jiran-jiran untuk bergilir-gilir menghantar anak-anak ke sekolah. Tetapi kalau sekarang pun sudah ramai anak jiran yang menumpang kereta kita, macamana kita hendak mengubah gaya hidup?
Jika sebelum ini kita menaiki kereta ke tempat kerja, maka usahakanlah untuk menaiki motosikal. Tetapi kalau kita memang dari dulu naik motosikal, bagaimana kita hendak mengubah gaya hidup?
Jika sebelum ini kita kerap melancong ke luar negara, maka mulai sekarang melanconglah di dalam negara. Tetapi kalau kita memang tidak pernah pergi melancong ke mana-mana, hanya balik beraya di kampung, bagaimana kita hendak mengubah gaya hidup?
Jika sebelum ini anak kita bawa wang saku RM1 ke sekolah untuk membeli makanan, maka mulai sekarang buatkanlah bekal untuk anak-anak kita. Tetapi kalau anak-anak kita dari dulu lagi kita sudah bekalkan makanan ke sekolah kerana tidak mampu beri wang saku, bagaimana kita hendak mengubah gaya hidup?
Jika sebelum ini kita kerap menonton wayang, berhibur, maka mulai sekarang duduklah sahaja berhibur di rumah, menonton televisyen, bermain dengan anak-anak. Tetapi kalau memang dari dulu kita berhibur dengan menonton televisyen di rumah dan bermain dengan anak-anak, bagaimana kita hendak mengubah gaya hidup?
Jika sebelum ini kita kerap membeli pakaian baru hampir setiap bulan, maka mulai sekarang belilah pakaian baru setahun sekali masa hari raya sahaja. Tetapi kalau kita sekarang pun kita membeli pakaian baru apabila pakaian lama sudah koyak atau lusuh, bagaimana kita hendak ubah gaya hidup?
Jika sebelum ini kita merokok sekotak dua kotak sehari, maka mulai sekarang hisaplah sekotak atau dua kotak seminggu atau berhenti terus. Tapi kalau kita dari dulu pun tidak merokok, bagaimana kita hendak mengubah gaya hidup?
Banyak lagi contoh yang boleh dibawa di sini, cuma tidak mampu hendak menulisnya.
Kesimpulannya, orang yang hidup mewah, orang yang berada, buat apa mereka hendak susah-susah untuk mengubah gaya hidup mereka kerana mereka masih mampu untuk berbelanja walaupun minyak naik lebih 30 sen seliter.
Orang yang sederhana hidupnya dan berjimat-cermat mungkin masih dapat bertahan. Bagi orang yang susah, yang tidak boleh lagi mengubah gaya hidup, mereka hanya mampu menadah tangan dan berdoa atau menadah tangan untuk mengemis. Takutilah doa-doa golongan yang sebegini.