Saban hari media milik kerajaan menyumbat minda rakyat dengan madah merdu bahawa pemimpin kitalah yang paling prihatin kerana sanggup menanggung perbelanjaan atau menyedekahkan subsidi kepada mereka.
Tanpa subsidi, kononnya rakyat di negara ini pasti mati kebuluran.
Bagi rakyat yang dari dulu, kini dan selamanya hanya terdedah kepada akhbar arus perdana, berita RTM atau TV3, khabar berita dari pemimpin negara itu sangat besar dosanya kalau disanggah, apatah lagi kalau ianya keluar dari mulut Perdana Menteri atau timbalannya.
Kita ambil contoh penjelasan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penjelasan mengenai kenaikan 30 sen bagi seliter minyak di negara ini.
Betapa rakyat marhaen yang sudah lama mengikat perut ini dicanangkan supaya bijak berbelanja, berjimat cermat atau ubah gaya hidup. Lebih menarik, kerajaan mencadangkan pula rakyat menaiki kenderaan awam, naik basikal atau berkongsi kereta.
Memang sedap bunyinya, tiada bezanya dengan bapa yang memberikan wang seringgit kepada anaknya sebelum ke sekolah, dan menasihatkan supaya pandai- pandailah berbelanja dan simpan wang lebihan supaya cerah masa depan.
Tetapi tahukan si bapa wang seringgit itu hanya layak untuk segelas sirap dan sebiji karipap bagi menahan perut sehingga ke tengahari?
Itulah realitinya hari ini. Dengan mengambil kira pendapatan isi keluarga rakyat negara ini yang tidak melebihi RM2,000 sebulan, mampukah rakyat menterjemahkan saranan pemimpin itu?
Katakan dengan wang sebanyak itu, mampukah si ibu dan ayah yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Baru dan Pulau Pinang menyara tiga orang anak dengan selesa?
Sewa rumah setinggan pun, RM400 sebulan di Kuala Lumpur. Tolak hutang motosikal RM200, bil air dan elektrik RM100, tambang sekolah anak RM150, bil telefon RM 100, belanja sekolah anak-anak RM100 dan tolak itu, tolak ini, masih adakah bakinya?
Apa lagi yang tinggal untuk makan dan pakai? Itu belum lagi perbelanjaan yang tidak dibajetkan.
Hakikatnya, majoriti rakyat sekarang berada dalam keadaan yang paling tertekan sejak negara merdeka hampir 50 tahun yang lalu. Mungkin lebih sukar dari zaman kebuluran di Baling dahulu kerana kos hidup kini jauh lebih tinggi.
