Ini kisah sebuah jabatan kerajaan bernama Jabatan Telekom Malaysia (JTM) yang kemudian diswastakan menjadi Syarikat Telekom Malaysia (Telekom) yang kemudiannya diberi imej baru sebagai Telekom Malaysia (TM) akan mengalami kepupusan beberapa tahun akan datang. Pupus seperti pupusnya dinasour di muka bumi.
Berabad lamanya raksasa ini hidup di Malaysia dengan menukarkan warna dan nama tetapi tidak menukar budaya kerja dan perkhidmatannya.
Di awal kewujudannya dulu mungkin mengambil masa satu atau dua bulan barulah kita akan disambung ke sistem pusat supaya kita dapat berhubung ke seluruh dunia. Kini ketika pesaingnya menjanjikan tempoh 2-3 jam bagi menyambungkan ke seluruh dunia, TM masih memerlukan tempoh 24 jam untuk melaksanakannnya.
Contoh terdekat ialah bagaimana saya mendapat perkhidmatan selepas 6 bulan memohon. Pertama sekali saya kena pergi ke TM Point (dulunya Kedai Telekom) untuk membuat permohonan. Di situ status saya disemak untuk memastikan termasuk senarai hitam atau tidak.
Kemudian kawasan perumahan saya disemak samada terdapat talian atau tidak. Oleh sebab permintaan yang sangat tinggi maka saya terpaksa menunggu kerana kawasan saya tidak cukup talian. Saya diberi satu nombor telefon untuk dihubungi bagi menyemak status talian samada telah ada atau belum.
Setelah 6 bulan berulang kali menanyakan status, akhirnya ada talian untuk saya. Lalu saya disuruh sekali lagi ke TM Point yang terdekat untuk membuat permohonan semula. Oleh sebab saya memerlukan talian telefon bagi mendapatkan perkhidmatan streamyx, saya terpaksa akur.
Selepas itu mereka berjanji akan menyambung talian dalam tempoh 24 jam. Kemudiannya saya arah menghubungi bahagian pemasangan utntuk membuat temujanji pemasangan. Setelah menghubungi 22 kali nombor berkenaan dalam tempoh 4 hari, akhirnya saya diberikan satu lagi nombor untuk dihubungi. Kali ini nombornya ialah nombor telefon kontraktor pemasangan. Saya hanya dapat menghubungi kontraktor pemasangan selepas 2 hari.
Setelah temujanji dibuat, maka kontraktor pun datang ke rumah saya pada jam 4 petang, lewat 6 jam dari masa yang telah dijanjikan. Kontraktor menyambung satu set telefon dengan talian dalam yang sedia ada. Saya dicaj RM50 untuk satu perkhidmatan yang saya anggap boleh dibuat oleh anak saya yang berumur 6 tahun.
Telefon saya masih belum dapat digunakan, kerana saya sekali lagi perlu menghubungi sendiri TM bahagian pemasangan untuk meminta nombor telefon saya diaktifkan.
Seperti biasa saya terpaksa membuat panggilan bertubi-tubi dan berhari-hari ke bahagian pemasangan, sebelum panggilan saya disambut oleh seseorang yang sangat kasar bahasanya. Akhirnya setelah 43 jam, telefon saya pun dapat digunakan.
Langkah seterusnya ialah untuk memohon akaun streamyx. Saya sekali lagi terpaksa mengulangi proses yang sama sejak 6 bulan yang lepas. Selepas 12 hari memohon, baru dapat menggunakannya.
Jika proses penggantungan perkhidmatan dan pemotongan talian dapat dilakukan secara automatik, begitu efisyen dan lancar, kenapa proses permohonan, pemasangan dan penyambungan tidak menjalani proses yang sama?
TM bukan lagi syarikat telekomunikasi tradisional, ia adalah sebuah korporat yang memperdagangkan teknologi. Jika TM tidak effisyen, tidak mustahil TM akan pupus sepertimana pupusnya dinasour di makan zaman. Jika dinasour mengambil masa beratus tahun untuk pupus, dalam kecanggihan hari ini TM mungkin akan pupus dalam beberapa bulan akan datang.
Jangan sekadar menukar imej dan warna, tukarkan juga budaya kerja dan kualiti perkhidmatan. Jika TM terus lembab maka misi dan visi kerajaan bagi merapatkan jurang digital akan jadi mimpi sedih dan tidak akan tercapai.
Ingatlah wahai pengurusan TM, anda bukan saja bertanggungjawab mencari keuntungan semata-mata tetapi amanah anda lebih besar dari itu, kerana TM adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ditubuhkan atas modal rakyat.
Harap-harap TM akan tersedar dari mimpi mereka.
