Saya merujuk kepada berita bertajuk Pemimpin PKR ingatkan PAS jangan masuk perangkap .
PAS nampaknya beralah betul dengan Anwar Ibrahim. Ketika Anwar berbaik-baik dengan pengganas-pengganas Amerika Syarikat dan Yahudi, PAS buat bodoh sahaja seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Tetapi baru PAS pergi mendengar ceramah Dr Mahathir Mohamad, Anwar sibuk memanggil para pemimpin PAS datang untuk menadah telinga kepada leterannya.
Soalnya, sampai bila Anwar hendak berlagak sebagai tukang arah orang lain untuk berbuat apa sahaja yang diingininya? Dan, sampai bila pula PAS sanggup buat bodoh?
Pergi mendengar Dr Mahathir bercakap membantai kerajaan bukan bermakna PAS memaafkan Dr Mahathir. Bukan bermakna PAS hendak angkat Dr Mahathir jadi ketua - seperti kesilapan yang PAS lakukan sekarang sehingga Anwar selalu perasan bahawa dialah pengarah PAS.
