Tindakan empat Pemuda Umno bahagian Pulau Pinang mahu jawatan ketua menteri Pulau Pinang digilirkan adalah tidak munasabah.
Saya adalah anak kelahiran negeri Sabah dan saya telah lihat bagaimana sistem penggiliran ini membawa kesan negatif kepada rakyat Sabah bertahun-tahun lamanya.
Semua rakyat Malaysia tahu dan faham negeri Sabah adalah negeri yang berbilang kaum. Di Sabah ada lebih daripada 30 kaum yang mempunyai budaya dan kepercayaan masing-masing.
Sewaktu pemerintahan Tun Mahathir, jawatan ketua menteri Sabah telah digilirkan untuk tiga kaum utama iaitu Bumiputra Islam, Bumiputra bukan Islam dan Cina. Jawatan tersebut akan disandang dan digilirkan setiap dua tahun.
Banyak kelemahan-kelemahan yang telah dilihat setelah negeri Sabah diperintah oleh ketua menteri yang digilir setiap dua tahun dan sistem ini akhirnya dihapuskan.
1) Setiap ketua menteri mempunyai cara pentadbiran yang berlainan dan cara pentadbiran mereka hanyalah boleh bertahan untuk dua tahun. Ketika Sabah di bawah sistem penggiliran selama beberapa tahun dahulu, banyak pembangunan telah terbengkalai disebabkan setiap ketua menteri yang mengambil alih giliran tidak menyambung pembangunan yang hanya siap separuh sahaja. Ini adalah satu pembaziran yang serius.
2) Sistem menggilir ketua menteri boleh menyebabkan objektif pembangunan tidak menentu dan tidak bersistematik kerana tanggungjawab ketua menteri hanya untuk dua tahun.
3) Sistem penggiliran ketua menteri adalah tidak adil kerana calon yang dipilih untuk menyandang jawatan ketua menteri bukannya dipilih atau diundi oleh rakyat, tetapi dipilih oleh kerajaan persekutuan.
Contohnya boleh dilihat di Sabah di mana sesetengah presiden parti boleh menyandang kerusi ketua menteri sedangkan kerusi partinya kurang daripada kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri.
Berdasarkan kelemahan-kelemahan di atas, Umno Pulau Pinang dan kerajaan persekutuan tidak harus menggilirkan jawatan ketua menteri di Pulau Pinang. Adakah kerajaan masih belum belajar dari kesilapan di negeri Sabah?
Jikalau sistem penggiliran ini memang berkesan dan sistematik, mengapakah kerajaan pusat akhirnya menghapuskan sistem ini di Sabah?
Pandangan Datuk Abdul Jalil Abdul ADUN Penanti, Pulau Pinang adalah tepat sekali dan pengagihan kuasa seperti yang dicadangkan oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik adalah tidak perlu.
Umno Pulau Pinang sepatutnya mencari jalan memajukan orang Melayu dan bukannya menyalahkan kerajaan negeri.
Pemimpin-pemimpin Melayu di Pulau Pinang sudahpun mempunyai kuasa untuk menjaga kepentingan Melayu dan kuasa eksekutif adalah tidak perlu. Objektif utama Umno adalah menjaga dan memajukan orang Melayu di semua negeri di Malaysia.
Jikalau kuasa eksekutif adalah perlu, bagaimana pula negeri Sabah yang mempunyai lebih daripada 30 kaum dan aktif dalam politik? Adakah kuasa eksekutif perlu dibahagikan kepada 30 kaum ini?
