Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers
Plus terlebih kutip tol bagi laluan Kota Damansara-Damansara

Saya ingin mengemukakan aduan mengenai bayaran tol yang dikenakan oleh Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) terhadap pengguna lebuhraya di laluan antara Kota Damansara dan Damansara.

Pada masa ini, kadar bayaran tol yang dikenakan bagi laluan tersebut ialah RM1 untuk laluan sejauh kurang daripada tiga kilometer. Bagaimanapun, dalam lamanweb Plus dinyatakan bahawa jarak antara kedua-dua laluan tersebut adalah tujuh kilometer. Maklumat ini adalah salah dan pengguna telah dibebankan dengan bayaran berlebihan kira-kira 50 sen hingga 70 sen.

Saya sendiri telah mengukur jarak antara dua laluan tersebut dengan menggunakan meter perbatuan pada kereta dan motosikal, dan jelas jaraknya kurang daripada tiga kilometer. Papan tanda selepas jalan susur keluar Kota Damansara menuju ke Shah Alam, juga jelas menunjukkan jaraknya dua kilometer.

Saya telahpun mengemukakan bantahan menerusi e-mel kepada pihak Plus, namun tiada sebarang respons diterima. Saya amat berharap saluran ini dapat membuka mata Plus yang membuat keuntungan ratusan juta ringgit setiap tahun, tetapi masih mahu membebankan pengguna dengan cara yang sungguh memalukan.

Persoalannya ialah Plus telah menerima hasil 'haram' daripada kutipan tol yang berlebihan selama beberapa tahun beroperasi di laluan tersebut. Bayangkanlah, berapa banyak kenderaan yang menggunakan laluan itu sepanjang tempoh berkenaan. Kita sedang memperkatakan jumlah jutaan ringgit, bukan seringgit dua.

Permohonan maaf sahaja tidak memadai. Plus mesti memulangkan wang tersebut kepada mereka yang sering menggunakan laluan itu, termasuk saya sendiri, Sudah tentu sukar untuk mengesan pengguna terbabit.

Jadi Plus perlulah memikirkan bagaimana ia dapat menjelaskan pampasan terhadap kecuaian dan kesilapan ini. Mungkin dengan melupuskan pungutan tol dari laluan Kota Damansara ke Damansara dan sebaliknya selama-lamanya boleh menyembuhkan rasa kecewa pengguna seperti saya. Saya amat berharap pihak Plus memberi respons terhadap isu ini.

ADS