Saya merupakan seorang warganegara Malaysia yang bakal mengundi buat kali pertama di dalam pilihanraya umum yang akan datang. Sehingga kini saya belum mendaftar dengan mana-mana parti politik di Malaysia. Bagaimanapun, saya bercadang untuk menyertai parti Umno suatu hari nanti, sekiranya ia masih sebuah parti yang relevan kepada bangsa saya iaitu Melayu.
Saya bukanlah seoarang ahli politik malah tidak pernah terlintas di hati saya untuk berpolitik di dalam hidup saya. Bagi saya, sekiranya saya menyertai Umno, saya ingin menyumbang dan berbakti kepada agama, bangsa dan tanahair. Sekiranya saya menyertai Umno, bukanlah rezeki yang saya cari, kerana saya sudahpun mempunyai pekerjaan yang baik dan saya bersyukur dengannya.
Namun, apa yang membimbangkan saya kini ialah, adakah Umno parti yang paling sesuai untuk saya sertai dan saya dokongi? Ini kerana, perkembangan terkini dalam senario politik Umno amatlah membimbangkan malah menggoncang keyakinan saya menyertai Umno. Mana tidaknya, seperti ada yang tidak kena di dalam krisis kepimpinan sekarang dengan kepimpinan yang terdahulu. Mengapa ia boleh berlaku?
Bagi saya cara terbaik untuk menangani masalah ini ialah dengan kedua-dua pihak dapat merendahkan ego masing-masing demi kepentingan bersama. Selain itu saya mencadangkan semua menteri kabinet, ahli-ahli majlis tertinggi Umno dan pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan sebagai "jurucakap tidak dilantik" ini mengambil cuti tutup mulut .
Saya berpendapat apabila mereka ini menokok tambah atau memberikan kenyataan-kenyataan yang tidak membantu, ia telah memesongkan pandangan rakyat daripada melihat Umno sebagai parti yang kuat dan mengamalkan demokrasi. Umno nanti akan dilihat sebagai parti yang ahlinya hanya pandai bercakap tetapi tiada isinya.
Saya juga kurang senang dengan sikap pemuda Umno kebelakangan ini seperti sudah luntur adab dan kesusilaan Melayu yang begitu kuat suatu masa dahulu. Saya tidak bersetuju krisis kepimpinan ini diselesaikan dengan penyingkiran atau menggantung keahlian Umno Tun Dr Mahathir Mohamad seperti kata Ketua Pemuda Umno Terengganu dan Kedah.
Adakah langkah itu akan menyelesaikan masalah tersebut atau masalah yang lebih buruk akan timbul sekiranya ia dilakukan? Ketua Pemuda Umno Kepala Batas pula mahukan semua jawatan Tun Dr M dilucut. Sekali lagi saya ingin persoalkan, adakah tindakan tersebut akan menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir?
Usahlah pemimpin-pemimpin muda ini terlalu lantang bercakap. Siapalah kita yang juga baru setahun jagung berkelana di dalam Umno ingin memberikan pandangan yang sedemikian rupa. Kalau Pemuda Umno masih belum dapat menyelesaikan masalah gejala dadah, Mat Rempit, keciciran, pengangguran, taraf ekonomi pemuda di peringkat bahagian dan cawangan, janganlah bermimpi di siang hari untuk cuba menjadi hero untuk menyelesaikan masalah yang lebih besar.
Lebih baik Pemuda Umno memberi fokus kepada isu-isu yang saya sebutkan tadi.
Saya sekadar menyuarakan pendapat saya yang begitu kerdil di dalam arus politik semasa. Saya ulangi, saya dan rakan-rakan saya di luar Umno sedang memerhati, menganalisa dan meneliti, adakah Umno parti yang paling sesuai untuk kami curahkan keringat, wang ringgit dan tenaga atau ada parti-parti politik lain yang lebih sesuai untuk kami.
Percayalah, suatu hari nanti, keputusan pasti akan dibuat. Semoga hati saya akan dibuka untuk menerima Umno jua akhirnya.
