Saya ingin menyatakan rasa tidak berpuas hati kepada perkhidmatan Streamyx yang diberikan oleh Syarikat TM Net.
Pada 20 November, saya telah membuat pendaftaran secara online melalui agen yang dilantik. Pendaftarannya memang mudah dan menyenangkan. Ia juga mudah kerana tiada maklumat yang remeh-temeh diminta.
Tetapi apa yang berlaku selepas proses pendaftaran selesai amat mengecewakan. Setelah pendaftaran, saya akan membayar sekurang-kurangnya RM44 kepada syarikat, sama ada saya guna atau tidak, berpuas hati atau tidak.
Ia amat mengecewakan kerana saya seolah-olah dipermainkan. Syarikat memaklumkan saya boleh mengguna Streamyx selepas tiga hari pendaftaran. Kenapa begitu lama, sehingga memakan masa tiga hari? Jika saya memiliki perniagaan yang memerlukan penggunaan segera, sudah pasti perniagaan saya terjejas.
Tetapi selepas tiga hari, tiada apa-apa tanda. Saya menghubungi TM Net dan seorang kakitangan wanita menjelaskan berlaku masalah pada rangkaian Streamyx dan mereka memohon maaf. Tetapi, permohonan maaf itu merugikan saya kerana saya terpaksa membayar ketika membuat panggilan saya. Munasabahkah?
Kakitangan tersebut berkata, masalah saya akan diselesaikan dalam tempoh tiga hari lagi. Tetapi selepas tiga hari, saya masih tidak boleh menggunakannya. Siapa yang perlu dipersalahkan? TM Net atau kontraktor yang dilantik?
Bayangkan, di dalam negara hampir maju seperti Malaysia ini, anda memerlukan lapan hari untuk menggunakan perkhidmatan Streamyx selepas mendaftar. Saya mendaftar pada 20 November dan pada 27 November baru boleh menggunakan perkhidmatan yang canggih ini.
